Sabtu, 7 Mac 2009

CATATAN LOG DAN REFLEKSI KENDIRI PELAJAR 4B

CATATAN LOG DAN REFLEKSI KENDIRI MINGGU 2 PELAJAR 4B

Isnin 2hb Februari, saya memulakan tugas sebagai guru TP di Sekolah Menengah PJN PHAB Kuala Belait. Pada minggu yang pertama saya berada di sekolah tersebut, saya tidak berpeluang untuk membuat pencerapan bagi mata pelajaran sastera dan Bahasa Melayu, hal ini kerana pada minggu tersebut kami belum diberi jadual waktu yang tetap, memandangkan sekolah tersebut pada ketika itu sedang menerima kemasukan kembali bagi menengah 5 yang mengulang.

Pada minggu yang kedua (09, 11 & 12hb Februari), saya memulakan sesi pengajaran bagi mata pelajaran sastera dalam menengah 4B. Pada hari itu saya mengajar HAK (Bab 2) kepada pelajar menengah 4B. Sebelum memulakan pengajaran, saya berkenalan dengan pelajar menengah 4B sebagai sesi suai kenal, memandangkan saya tidak berkesempatan membuat pencerapan pada minggu yang pertama. Memang tidak dinafikan pada hari pertama memasuki dan mengajar kelas tersebut, saya berasa gementar tetapi hal tersebut dapat diatasi dengan kaedah yang dipelajari sewaktu pangajian di UBD. Masalah utama bagi menengah 4B sewaktu mengajarkan HAK ialah mereka kurang berminat dengan teks lama dan kurang memahami jalan cerita tersebut.

Pada 11hb (Rabu), saya mengajar NP Bab 1 bhg 2, pelajar ditanya oleh guru mengenai jalan cerita Bab 1 bhg 2, rata-rata pelajar tidak mengetahui cerita tersebut, hal ini kerana pelajar tidak membaca NP sewaktu berada di rumah. Namun untuk menarik minat pelajar mengikuti pelajaran pada hari tersebut, guru berbincang dengan pelajar dan pelajar berbincang bersama ahli kumpulan yang lain mencari watak-watak, latar masa dan tempat dan peristiwa penting. Kemudian pelajar diarahkan oleh guru untuk mencatat hasil perbincangan pelajar di papan putih. Pelajar juga diberi latihan dalam kelas dan kerja rumah sebagai peneguhan.

Pada 12hb (Khamis), pelajar menduduki Ujian Topikal 1. Saya diarahkan oleh guru kelas untuk menyemak kertas jawapan dan memberi markah hasil ujian tersebut.

PENILAIAN KENDIRI

Setelah menjalankan pengajaran pada 09,11 & 12hb Februari, saya mendapati segelintir pelajar masih kurang berminat terhadap mata pelajaran sastera, malah ada sesetengah pelajar beranggapan bahawa mata pelajaran sangat susah untuk dipelajari. Di samping itu, pelajar lelaki didapati sering bercakap dan menganggu pelajar lain sewaktu guru mengajar. Manakala pelajar perempuan pula, mereka lebih suka duduk dalam satu kumpulan misalnya 2 ke 3 orang dalam 1 kumpulan. Walaubagaimanapun ada juga pelajar bersungguh-sungguh memberi perhatian sewaktu guru memberi penerangan terutama pelajar A & B. Sebagai guru, saya tidak mengamalkan sikap begitu tegas terhadap pelajar 4B, sekali sekala diselitkan dengan jenaka agar suasana pembelajaran lebih ceria dan aktif.

CATATAN LOG DAN REFLEKSI KENDIRI MINGGU KE 3 PELAJAR 4B

Isnin 16, 18 & 19hb Februari, pada minggu yang ketiga, saya mengajar seperti biasa iaitu HAK, NP, dan sajak. Pada minggu ke 3 ini, saya masih menerangkan kepada pelajar seperti menyenaraikan watak-watak, latar masa dan tempat dan peristiwa penting kepada pelajar. Di samping itu pelajar diberikan latihan menjawab soalan konteks di dalam kelas. Manakala dalam pengajaran sajak, guru juga memberikan penerangan kepada pelajar serta memberikan nota sebagai kertas edaran kepada pelajar. Sewaktu berlangsungnya pengajaran sajak, guru mengarahkan beberapa orang pelajar untuk mendeklemasikan sajak “ Kau dan Aku”. Pada pemulaannya pelajar berasa malu untuk mendeklemasikan sajak, namun setelah guru mendeklemasikan sajak tersebut, pelajar mula berminat untuk mencuba. Salah seorang daripada pelajar lelaki & perempuan mempunyai bakat dalam mendeklemasikan sajak. Pelajar juga berbincang bersama guru dalam memberikan maksud sajak “Kau dan Aku”

PENILAIAN KENDIRI

Pada minggu yang ketiga ini, pelajar mula serasi dengan kehadiran saya setelah 2 minggu bersama. Pelajar-pelajar menunjukkan sikap aktif mereka sewaktu guru menyampaikan pengajaran. Pelajar juga sudah mula untuk bertanya mengenai pelajaran yang mereka kurang fahami. Sewaktu perbincangan, saya membahagikan pelajar kepada 3 ke 4 kumpulan untuk memudahkan mereka berbincang. Walaubagaimanapun pelajar juga masih aktif bercakap sewaktu guru menerangkan dan hal ini sedikit menganggu sesi pembelajaran terutama pelajar C,D,E.

CATATAN LOG DAN REFLEKSI KENDIRI MINGGU KE 4 PELAJAR 4B

25&26HB Februari, saya hanya mengajar NP (Bab 1 bhg 4) dan sajak ( Engkau Bagai Dalam Sangkar) pada minggu ke 3. Sewaktu mengajar NP, saya mengarahkan pelajar mencari watak-watak, latar masa dan tempat Bab 1 bhg 4 dan berbincang bersama ahli kumpulan yang lain. Pelajar sudah mula memahami jalan cerita NP setelah guru mengimbas kembali jalan cerita dari bab 1 bhg 2 hinga bab 1 bhg 4. Pelajar juga aktif menulis jawapan di papan putih seperti yang diarahkan oleh guru. Manakala pengajaran sajak “Engkau Bagai dalam Sangkar” agak mudah kerana pelajar mudah memahami maksud sajak tersebut.

PENILAIAN KENDIRI

Pada minggu yang keempat, saya bertambah yakin sewaktu mengajar. Namun dari segi kelemahan, saya masih kurang menguruskan masa sewaktu mengajar. Misalnya terlalu perlahan menyampaikan isi pelajaran, hal ini mungkin disebabkan masa waktu aktiviti terlalu banyak gunakan. Saya dapat merasakan cabaran dan dugaan sewaktu mengendalikan kelas 4B, terutama masalah pelajar lambat menghantar kerja kelas dan kerja rumah, malah ada juga pelajar yang langsung tidak menghantar kerja.

CATATAN LOG DAN REFLEKSI KENDIRI MINGGU KE 5 PELAJAR 4B

2,4 & 5hb Mac, pada minggu yang ke-5, ketika mengajar NP saya mengadakan sesi pembentangan bagi setiap kumpulan. Setiap kumpulan mencari watak, latar masa dan tempat dan peristiwa penting. Setiap kumpulan mempunyai seorang ketua untuk menyampaikan isi pembentangan mereka. Pelajar dibahagikan kepada 3 kumpulan. Saya memberikan kepada setiap kumpulan kertas transparency OHP untuk mencatat jawapan hasil perbincangan setiap kumpulan. Pada 5hb Mac, pelajar menduduki ujian retest 1.

PENILAIAN KENDIRI

Pelajar merasa seronok sewaktu aktiviti pembentangan diadakan. Pelajar merasa yakin sewaktu menyampaikan pembentangan mereka. Namun terdapat juga masalah, misalnya ada pelajar yang malas berkerja sama mencari jawapan ketika sesi perbincangan bersama ahli kumpulan. Pelajar yang pasif mengharapkan pelajar yang aktif ketika membuat kerja. Malah ketika berkumpulan, pelajar yang suka bercakap mengambil kesempatan menganggu pelajar lain. Alhamdulilah pada minggu ke 5 ini, saya merasakan lebih mudah untuk berkerja sama dengan pelajar sewaktu mengadakan aktiviti perbincangan berbanding pada minggu-minggu yang lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan