Isnin, 9 Mac 2009

Catatan Log dan Refleksi Kendiri 5 Pelajar D

Log Harian
02.Mac 2009- Pada pagi ini saya telah berkesempatan membawa pelajar saya ke Makmal Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT). Tujuan saya membawa pelajar Tahun 7E ke tempat tersebut ialah pertama memberi pendedahan kepada pelajar mengenai pembelajaran berbantukan TMK. Di samping itu ialah, saya akan menggunakan kemudahan yang ada seperti komputer riba dan projektor sebagai alat bantu atau sumber pengajaran saya. Hari ini saya mengajarkan salah satu jenis golongan kata iaitu kata adjektif. Sebelum ini, pelajar telah diajarkan kata kerja dan kata nama. Objektif pengajaran saya pada hari ini ialah, pertama pelajar dapat mengenali salah satu jenis golongan kata iaitu kata adjektif serta sembilan pembahagian kata adjektif berserta ciri-cirinya. Dengan bantuan alat bantu mengajar, saya dapat menunjukkan kepada pelajar sembilan pembahagian kata adjektif berserta dengan contoh-contohnya serta gambar-gambar untuk menunjukkan perbezaan antara sembilan pembahagian kata adjektif. Setelah itu, mereka diberikan latihan dan sebelum mereka keluar saya mengarahkan pelajar untuk berdiri dan menjawab soalan saya.
03.Mac 2009- Pada hari ini, saya telah menbawa pelajar 4A saya ke bilik multimedia yang bertempat di tingkat atas perpustakaan. Bilik ini menyediakan kemudahan untuk pelajar menyaksikan video, slaid dan sebagainya. Selain itu bilik ini juga menyediakan kemudahan kepada para guru untuk mengajar. Hari ini saya membawa pelajar sastera saya dan mengajarkan kepada mereka sajak Kau dan Aku karya A.Rahim Hamid. Objektif pengajaran saya ialah pelajar dapat mengenali bentuk sajak tersebut serta dapat memprosakan sajak tersebut. Setelah pelajar memprosa sajak tersebut, tugasan yang diberikan kepada mereka ialah berkaitan dengan maksud, tema dan persoalan yang akan dilakukan secara berkumpulan. Hasil tugasan yang diberikan ini akan dibentangkan oleh pelajar pada hari khamis.
05.Mac 2009- Pelajar Sastera pada hari ini akan melakukan pembentangan secara berkumpulan sebagai menyambung pelajaran pada 03.Mac 2009. Sebelum setiap kumpulan membentangkan hasil kerja, mereka telah diarahkan untuk mendeklamasi sajak tersebut rangkap demi rangkap, seterusnya untuk rangkap demi rakngkap, pelajar menerangkan maksud setiap rangkap, melalui maksud tersebut mereka menyenaraikan persoalan rangkap tersebut. Kemudian saya persoalkan kepada mereka persoalan yang mereka pilih serta hujah mereka. Seterusnya setelah setiap kumpulan membentang, saya ajukan soalan kepada mereka, antara banyak persoalan yang telah mereka senaraikan, persoalan apa yang paling menonjol. Seterusnya mereka memilih tema bagi sajak Kau dan Aku, serta hujah mereka. Ramai pelajar yang memilih tema kasih sayang, namun saya tidak mengira tema apa yang mereka pilih, tetapi setiap tema yang mereka pilih itu mestilah ada hujah yang cukup meyakinkan bahawa tema itu memang ada dalam sajak tersebut.
07.Mac 2009- Hari ini, saya telah masuk ke kelas Tahun 7E. Hari ini saya mengajarkan meringkaskan sebuah petikan surat kiriman tidak rasmi. Sebelum itu saya menerangkan kepada pelajar saya teknik meringkaskan karangan. Pertama menggugurkan contoh-contoh, kedua menggugurkan adverba jika ada dan seterusnya, perkataan, ayat, frasa yang mempunyai persamaan dari segi maksud atau pertindihan makna akan digugurkan. Kemudian bagaimana untuk menggabungkan beberapa isi atau ayat dengan menggunakan penanda wacana. Seterusnya bagaimana mengira jumlah perkataan seperti kata nama khas di kira satu perkataan. Setelah teknik diajarkan, saya menunjukkan beberapa ayat yang kemudiannya diringkaskan dengan menggunakan teknik yang tadi. Setelah itu sebagai latihan saya memberikan pelajar, satu petikan surat kiriman tidak rasmi untuk diringkaskan.

Penilaian Kendiri
Untuk pengajaran saya pada 02.Mac, pelajar secara keseluruhan dapat menyenaraikan jenis-jenis kata adjektif secara lisan, mereka juga dapat mengenal pasti kata adjektif dalam ayat serta membina ayat dengan menggunakan kata adjektif yang diberikan. Ada pelajar yang tidak membaca arahan yang saya berikan kepada mereka iaitu untuk mengariskan kata adjektif tersebut, kerana mereka menyangka itu adalah contoh kata adjektif dalam ayat.
Manakala, bagi pengajaran Sastera saya, ada kekeliruan yang timbul iaitu berkaitan dengan rima akhir. Persoalannya, adakah rima akhir itu dilihat pada huruf akhir perkataan akhir dalam setiap baris atau pun rima akhir itu dilihat pada bunyi akhirnya?. Sebagai contoh “pemurah” dan “pengasih”. Ada pelajar mengatakan rima akhirnya ialah a/a. Tetapi rima akhir sebenarnya ialah bunyi bukan huruf kerana “pemurah” membawa rima akhir “pemura(ah)” dan “pengas(ih)” jadi rima akhirnya ialah a/b.
Bagi meringkaskan karangan, saya sedang menunggu pelajar untuk menghantar tugasan yang saya berikan kepada mereka. Namun ada seorang pelajar yang sudah menghantar. Melalui latihan yang saya berikan, dia dapat meringkaskan petikan tersebut dengan menggugurkan contoh-contoh dalam ayat, Cuma dia tidak menggunakan penanda wancana dalam ayat tersebut. Namun begitu pelajar tersebut telah dapat mencari fakta-fakta utama dalam petikan tersebut.

Kemuskilan
Melalui pembacaan saya dan apa yang telah diajarkan kepada saya semasa mengikuti kursus major saya iaitu Kesusasteraan Melayu, rima akhir ialah bunyi akhir pada baris-baris akhir puisi, sebagai contoh,
Kau adalah bapa yang ingin jadi pemur(ah)
kau adalah bapa yang ingin jadi pengas(ih)
jadilah anak(mu)
anak perkasa yang gag(ah)
mata bolanya api yang mer(ah)
dan kau pun jadi lilin yang lemb(ut)
Jadi rima akhir bagi rangkap ini ialah, a/b/c/a/a/d. Jika ia dilihat pada huruf akhir rimanya adalah a/a/b/a/a/c, sedangkan rima akhir ialah persamaan bunyi pada bahagian akhir baris puisi.
Jadi saya minta pendapat rakan-rakan yang lain, betulkan saya jika saya salah. Adakah rima akhir dilihat pada pada bunyi akhir baris puisi ATAU huruf akhirnya?. Saya telah bertanyakan kepada rakan di Sekolah Menengah Sayyidina Othman, mereka mengatakan rima akhir ialah huruf akhir, kemudian saya juga ada bertanyakan kepada mahasiswa UBD yang telah graduate, yang mengambil kursus major Kesusasteraan Melayu, dia mengatakan rima akhir ialah bunyi akhir pada bahagian akhir baris puisi.
Kemuskilan yang kedua ialah, adakah pengajaran saya salah kerana saya tidak mengarahkan pelajar saya untuk mencari isi-isi penting dalam meringkaskan karangan, sebaliknya saya menggunakan teknik-teknik meringkaskan karangan yang telah diajarkan kepada saya oleh pensyarah saya iaitu Dr.Abdullah Jumain. Beliau tidak bersetuju dengan mengarahkan pelajar mencari isi-isi penting dalam meringkaskan karangan, sebaliknya ada prosedur yang perlu diambil dalam membuat ringkasan sebuah petikan. Persoalan yang timbul nanti ialah apabila kita mengarahkan pelajar untuk mencari isi-isi penting, adakah isi yang penting bagi pelajar itu, penting bagi kita?. Penting bagi pelajar, adakah penting bagi kita?. Apa yang akan terjadi sekiranya kita sebagai guru menganggap isi yang penting bagi pelajar itu, tidak penting bagi kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan