Ahad, 8 Mac 2009

Catatan Log dan Refleksi Kendiri 5 Pelajar B

Catatan Log dan Refleksi Kendiri

Pada minggu ini (minggu ke 5), saya telah menjalankan tugas saya seperti biasa terkecuali pada esok hari iaitu hari sabtu. Hal ini disebabkan oleh pelajar-pelajar saya akan menjalani ujian/ peperiksaan buat pertama kali dalam tahun ini iaitu bermula 07.03.2009 (sabtu) sehingga 18.03.2009 (rabu). Dalam minggu ini, saya telah mengajar tiga kelas sahaja iaitu Kesusasteraan Melayu (kelas 4B) dan Bahasa Melayu (kelas 4Sci1) pada 02.03.2009 (isnin) lepas, dan Kesusasteraan Melayu (kelas 4B) pada hari rabu lepas. Saya hanya akan memilih mata pelajaran Kesusasteraan Melayu (kelas 4B) sebagai topik pembicaraan dalam laporan saya ini. Sebagai contoh, pada hari isnin lepas, saya telah mengajar mereka tentang watak dan perwatakan, serta latar yang ada dalam cerpen tanah. Metod yang saya gunakan dalam induksi set ialah dengan cara ‘terapi’ iaitu mengarahkan para pelajar saya untuk menutup mata mereka terlebih dahulu kemudian menyatakan jalan ceritanya secara berurutan. Cara sebegini dapat memudahkan mereka untuk mengimbas kembali plot atau jalan cerita cerpen Tanah (topik yang pernah mereka pelajari sebelum ini). Kemudian, saya menjelaskan salah satu watak dan perwatakan yang terdapat dalam cerpen tersebut, iaitu watak ‘Aku’. Setelah para pelajar memahami contoh yang diberikan, kemudian saya mengarahkan mereka untuk membahagikan kepada empat kumpulan. Setiap kumpulan menerima satu kad manila yang dilakar (setiap bahagian diikat dengan tali) iaitu misalnya termasuk contoh gambar watak, nama watak yang dibiarkan kosong, dan satu tempat kosong yang agak besar bagi memudahkan pelajar menulis perwatakannya. Bagi latar pula, saya menyediakan beberapa latar yang terdapat dalam cerpen Tanah, kemudian saya mengarahkan setiap wakil dalam kumpulan memadankan jawapan yang disediakan di atas meja guru, dengan petikan yang dilekatkan di papan putih. Nampaknya setiap pelajar dapat memahami setiap aktiviti yang dijalankan dan alhamdullilah objektif tercapai. Pada hari rabu lepas pula, saya telah menukar tempat pengajaran dan pembelajaran di Mobitel, saya telah menggunakan persembahan slaid untuk mengajar topik Hikayat Awang kamaruddin (bab 1). Penukaran tempat ini kelihatan dapat membangkitkan semangat mereka untuk belajar. Tambahan lagi, dengan adanya penyelitan aktiviti seperti yang pernah digunakan sebelum ini, iaitu dengan menggunakan kad manila yang dilakar dalam menyatakan watak dan perwatakan (dalam HAK). Selain itu juga, aktiviti yang berupa kuiz ‘teka siapa saya’ dapat membantu memahami watak dan perwatakan dengan lebih mendalam. Dengan demikian, saya telah mendapat ilham yang baharu bahawa pemilihan tempat bagi pengajaran dan pembelajaran mestilah dinamik iaitu tidak hanya tertumpu pada kelas sahaja semata-mata, tetapi perlulah di tempat-tempat selesa yang lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan