Sabtu, 28 Februari 2009

Catatan Log dan Refleksi Kendiri 3 pelajar 7P2 dan 4C.

Catatan Log.

Pada hari Selasa, 24 Februari 2009, saya telah mengajarkan Novel Pengabdian bab 1 bahagian 2 kepada pelajar menengah 4C. Aktiviti pertama yang dilakukan ialah mengarahkan pelajar untuk mencari nama-nama watak dalam teka silang kata dan aktiviti kedua ialah meneka dan membetulkan ejaan nama latar tempat dan latar masa. Pelajar telah dibahagikan kepada 2 kumpulan iaitu lelaki dan perempuan. Pelajar-pelajar saya memberikan respon dan kerjasama yang baik serta bergiat aktif dalam menjalankan aktiviti yang telah disediakan. Latihan dalam kelas yang saya berikan ialah seperti biasa menjawab soalan dialog.

Pada hari Rabu dan Khamis, 25 dan 26 Februari 2009, tahun 7P2 dan 4C telah menduduki ujian (topikal test) bagi bulan Februari. Tahun 7P2 menduduki ujian Tatabahasa dan 4C menduduki ujian Sajak, Novel Pengabdian dan Hikayat Awang Kamaruddin.

Pada hari Sabtu, 28 Februari 2009, saya memasuki kelas tahun 7P2 bagi mengajarkan fahaman (jawi). Pelajar-pelajar dapat membaca jawi dengan lancar apabila saya mengarahkan seorang demi seorang untuk membaca petikan teks, kecuali pelajar yang berbangsa Cina. Pelajar yang berbagsa Cina tidak dapat membaca kerana tidak mengenal huruf jawi dan tidak pernah belajar jawi sebelum ini.

Refleksi Kendiri

Setelah mengajar, saya mendapati pelajar-pelajar menengah 4C mampu menceritakan isi pelajaran yang lalu dan isi pelajaran yang sedang dipelajari. Mereka tahu isi dan jalan cerita Novel dan Hikayat apabila sesi soal jawab dijalankan. Manakala bagi mata pelajaran Sajak pula, sesetengah pelajar dapat memberikan tafsiran atau maksud mengikut kefahaman mereka dan sesetengah yang lain kurang mahir dalam memberikan maksud sajak. Walau bagaimanapun saya perlu mempelbagaikan aktiviti agar pelajar berasa seronok dan dapat mengikuti setiap apa yang telah disampaikan kepada mereka. Bagi Tahun 7P2 pula, masih terdapat sebilangan pelajar kurang mahir menggunakan bahasa baku atau standard dalam penulisan. Oleh yang demikian saya harus memperbaiki mutu pengajaran saya dan memberikan latihan lisan dan latihan bertulis serta membiasakan pelajar-pelajar bercakap dalam bahasa standard.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan