Jumaat, 27 Februari 2009

Catatan Log dan Refleksi Kendiri 4 Pelajar B

Catatan Log dan Refleksi Kendiri

 

Pada minggu ini (minggu ke 4), saya selaku guru pelatih mula menjalankan tugas saya seperti sediakala. Sebelum ini iaitu merujuk kepada minggu ke 3, saya terpaksa menunda pengajaran kerana pelajar-pelajar saya telah mengadakan latihan pembarisan sempena pembarisan Hari Kebangsaan. Dalam minggu ini saya hanya mengajar 2 kelas (4 period) sahaja iaitu 2 period (Kelas 4B) bagi mata pelajaran Kesusasteraan Melayu (25 Februari 2009 bersamaan dengan hari rabu), dan 2 period (Kelas 4Sci1) bagi mata pelajaran Bahasa Melayu (28 Februari 2009 bersamaan dengan hari sabtu). Hal ini memandangkan pada hari isnin, 23 Februari 2009 merupakan hari cuti awam sempena Hari Kebangsaan NDB yang ke 25 tahun. Dalam laporan kerja ini, saya hanya menjelaskan pengajaran dan pembelajaran dalam kelas 4B sahaja iaitu merujuk kepada mata pelajaran Kesusasteraan Melayu. Topik yang diajarkan adalah mengenai sinopsis dan plot cerpen Tanah. Sebagai pengetahuan sedia ada pelajar, guru menganggap pelajar sudah membaca keseluruhan teks. Dengan demikian, dalam induksi set, guru bertanya kepada pelajar apa yang mereka dapat fahami melalui jalan cerita dalam cerpen tersebut. Alhamdullilah pelajar dapat memahaminya dengan baik. Untuk meneguhkan jawapan setiap pelajar, guru memperdengarkan pelajar sinopsis cerpen Tanah melalui alat bantu yang berupa odio. Manakala, dalam pengajaran plot cerpen ini, pelajar-pelajar telah diberikan skrip           (2 babak) untuk dilakonkan. Dialog-dialog yang telah diambil merupakan dialog-dialog penting dalam cerpen. Tujuannya adalah agar pelajar dapat mengingati dialog-dialog penting dan memahami peristiwa-peristiwa penting dalam cerpen tersebut. Props yang digunakan hanyalah label nama bagi setiap watak yang dipegang oleh pelajar.     Sebagai peneguhan kefahaman pelajar terhadap lakonan tersebut, pelajar-pelajar telah diberikan satu manila kad yang telah dilakar dalam susunan yang kronologi.           Setiap pelajar diarahkan untuk membahagikan kepada dua kumpulan, dan setiap kumpulan akan menerima satu kad manila yang dilakar tersebut. Walaupun hasilnya memuaskan iaitu pelajar-pelajar dapat menulis jawapan dengan betul. Akan tetapi, saya masih tidak berpuas hati pada pembahagian tugasan pelajar-pelajar. Dalam kerja berkumpulan ini, sesetengah pelajar tidak menjalankan tugas mereka. Oleh itu, jika ada kerja berkumpulan lagi pada pengajaran yang akan datang, saya akan cuba untuk membahagikannya lagi kepada jumlah pelajar yang lebih kecil daripada sebelumnya, dalam setiap kumpulan. Ini bertujuan agar pelajar mempunyai tugas masing-masing dalam kumpulan, dan bukannnya sebagai pemerhati sahaja. Hal ini perlu diberi perhatian kepada setiap guru pelatih yang lain, agar pemberian markah dapat dijalankan dengan lebih adil.Terima kasih. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan