Ahad, 8 Februari 2009

Catatan Log dan Refleksi Kendiri 1 Pelajar A

Pada minggu pertama kami berada di sekolah iaitu merujuk kepada hari-hari persekolahan sahaja, saya selaku salah seorang pelajar yang mengikuti kursus Latihan Mengajar di Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah telah melalui serba sedikit pengalaman menjadi seorang bakal guru baharu. Saya telah diwakilkan untuk mengambil alih kelas Menengah Atas 4B (bagi mata pelajaran Sastera) dan, Menengah Atas 4Sci1 (bagi mata pelajaran Bahasa Melayu) sepanjang tempoh kursus yang dijalankan. Walau bagaimanapun, untuk mengenali lebih dekat pelajar-pelajar yang akan diajar dalam setiap kelas berkenaan, pada minggu pertama ini, kami terlebih dahulu diberi peluang untuk membuat pemerhatian tentang cara guru (yang asal) mengajar dan mengawal mereka, mengenali sasaran pelajar yang lemah dan memerlukan perhatian yang lebih, berkongsi pengalaman serta ide dengan pelajar-pelajar tentang cara yang terbaik untuk menghadapi liku-liku seorang pelajar sehingga mencapai ke menara gading, menyentuh kepentingan mata pelajaran yang akan diajar (termasuk Bahasa Melayu dan Sastera), dan diselitkan juga penerangan ringkas berkenaan dengan peraturan-peraturan yang perlu diikuti sewaktu di dalam kelas (hal ini merangkumi disiplin diri seperti mengelakkan pelajar mempunyai kuku panjang, pelajar lelaki dimestikan bersongkok, setiap pelajar hendaklah berpakaian kemas, suasana kelas yang bersih dan kondusif seperti meja dan kerusi yang disusun dalam keadaan yang betul, papan putih yang sentiasa bersih sebelum memulakan pelajaran dan sebagainya). Dalam pada itu juga, saya telah mengambil kesempatan untuk mengenali setiap pelajar dengan lebih dekat iaitu dengan mengarahkan mereka berdiri di hadapan kelas dan menyebut nama mereka serta nama singkatan mereka. Dengan cara ini akan memudahkan saya untuk mengingati nama setiap pelajar dan seterusnya memberi mereka peluang untuk tampil kehadapan tanpa rasa malu. Tambahan lagi, cara sedemikian akan menjadikan mereka lebih aktif dalam kelas, dan seterusnya memudahkan saya untuk mencari dan menilai aktiviti yang terbaik untuk mereka jalani (ini termasuk aktiviti kelas sama ada secara individu mahupun berkumpulan). Melalui pemerhatian yang telah dibuat, kebanyakkan guru masih menggunakan alat bantu yang berupa ‘Chalk and Talk’, dan pelajar-pelajar kurang mengambil perhatian serta mudah berasa bosan. Dengan demikian, saya sebagai guru baharu (yang masih dalam latihan), akan berusaha sedaya upaya saya untuk menggunakan alat bantu yang lebih baik dan dapat menarik perhatian pelajar. Ini termasuk menyediakan aktiviti-aktiviti yang lebih memusatkan pelajar. Saya juga akan berusaha untuk mengaplikasikan ilmu pengetahuan yang telah dipelajari di UBD sebagai tulang belakang saya dalam membina ‘Teaching Aids’ atau alat bantu yang terbaik mengikut tahap kemampuan serta kebolehan pelajar. Hal ini tidak akan mungkin berhasil tanpa kekuatan, ketabahan, dan inisiatif yang mendalam dalam diri seorang pelajar mahupun guru. Justeru itu juga, saya selaku guru yang masih baharu juga masih memerlukan tunjuk ajar dan nasihat daripada guru-guru lama sebagai ‘sempadan’ untuk saya menjalani latihan mengajar dengan lebih berkesan lagi.            

Tiada ulasan:

Catat Ulasan