Isnin, 23 Februari 2009

Catatan Log dan Refleksi Kendiri 3 Pelajar B

Catatan Log dan Refleksi Kendiri

 

Pada minggu ke 3 di Sekolah Menengah PAP Hajah Rasidah di Lumut, saya belum dapat memberi pendapat terhadap peningkatan atau pembaikan pengajaran dan pembelajaran saya selaku pelatih di kelas saya. Hal ini disebabkan oleh gangguan latihan pelajar-pelajar saya dalam menjalani pembarisan sempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang ke 25 tahun pada 23 Februari 2009. Mereka telah menjalani latihan dari tarikh 14 Februari 2009 hingga 21 Februari 2009 iaitu selama seminggu berturut-turut. Kelas-kelas yang terlibat ialah pelajar-pelajar menengah atas 4 sahaja iaitu termasuk kelas saya sendiri 4Sc dan 4B, kecuali kelas 4D. Sepanjang tempoh seminggu ini, saya hanya diarahkan untuk menjaga dan mengawal (relief) kelas-kelas yang lain iaitu tahun 7 dan menengah bawah 3. Saya juga sempat mengawal dan mengajar satu kelas sastera iaitu menengah atas 5C secara team-teaching. Kami memberikan satu kertas edaran latihan kepada setiap pelajar.       Pelajar-pelajar telah diarahkan untuk membuat empat kumpulan. Kemudian, setiap kumpulan dikehendaki untuk membentangkan hasil perbincangan mereka di hadapan kelas. Hasil kerja mereka amat memberangsangkan kerana mereka berupaya untuk memahami dan mengingati apa yang telah mereka pelajari sebelum ini. Saya amat bersyukur kerana telah diberi peluang untuk mengawal dan mengajar kelas menengah atas 5 walaupun hanya sementara waktu. Sekurang-kurangnya saya dapat mengambil serba sedikit pengalaman mengajar pelajar yang bakal menduduki peperiksaan awam iaitu peperiksaan ‘O’ level. Selain itu juga, saya telah mengikuti pengajaran secara team-teaching di kelas tahun 7B dan kelas menengah atas 4D. Di sepanjang pengajaran ini, saya memperolehi pengalaman baharu mengajar secara berkumpulan. Pada pandangan saya, pengajaran seperti ini amat membantu pelajar memahami apa yang telah dipelajari secara terkawal. Selain itu juga, pengawalan kelas secara menyeluruh dapat membantu pelajar memberi konsentrasi yang lebih. Tambahan lagi, pengajaran seperti ini juga dapat membantu guru yang mengajar jika ada keperluan lain seperti pembahagian kertas atau nota edaran, melekat kad manila di papan putih, memasang alat-alat odio dan sebagainya. Secara menyeluruh, pengajaran seperti ini amat berkesan, menjimatkan masa, pengawalan yang bagus dan pelajar berdisiplin. Saya mengharapkan agar pengajaran seperti ini dapat diteruskan kerana menurut sesetengah pendapat mengatakan pengajaran seperti ini mendatangkan hasil yang lebih baik dari pengajaran secara individu. Insyallah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan