Sabtu, 14 Februari 2009

Catatan Log dan Refleksi Kendiri 2 Pelajar A

Catatan Log

Pada hari Selasa bersamaan 9 Februari 2009, saya telah mengajar merumuskan carta palang bagi tahun 7B. Saya menggunakan alat bantu mengajar maujud yang menunjukkan carta palang tentang makanan buah-buahan yang mengandungi vitamin C dan mengedarkan nota edaran kepada mereka. Sebelum memulakan pengajaran, saya bertanya kepada pelajar saya tentang buah-buahan yang mereka suka makan. Hampir semua pelajar saya aktif menjawab soalan yang saya berikan. Aktiviti berkumpulan juga saya adakan memandangkan mereka sudah bersedia menyusun meja untuk membuat kumpulan kecil. Perbentangan juga dilakukan oleh wakil setiap kumpulan bagi merumuskan carta palang dan pelajar juga tidak malu-malu untuk mencuba menjawab soalan yang diberikan oleh saya.

 

Refleksi Kendiri

Sepanjang pengajaran saya, hampir semua pelajar saya aktif mengambil bahagian ketika disoal secara individu. Namun masih lagi segelintir pelajar yang mengeja perkataan dengan salah (iaitu ‘pulak’ = ‘pula’). Pelajar juga kurang mengikut arahan yang terdapat dalam kertas soalan seperti ‘Membuat rumusan carta palang dengan tidak melebihi 60 patah perkataan’ dan masih lagi pelajar membuat karangan dengan panjang. Secara kelseluruhan, saya berpendapat adalah menjelaskan dengan lebih terperinci lagi tentang penerangan saya dengan baik dan jelas.

            

Jumaat, 13 Februari 2009

Catatan Log dan Refleksi Kendiri 1 Pelajar D

Catatan Log

Isnin, 2 Febuari, 7.00 pagi- Saya menghadirkan diri ke Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Lumut untuk melaporkan diri menjalani latihan mengajar. Seterusnya saya dibawa ke bilik persidangan untuk mendengar taklimat latihan mengajar yang disampaikan oleh Cikgu Hajah Murni bin Abdullah. Selesai sahaja mendengar taklimat, saya dibawa melawat ke beberapa tempat dan seterusnya ke bilik staff di tingkat dua.

Selasa, 3 Febuari- Pada sebelah tengah hari saya dijemput oleh guru-guru untuk menghadiri majlis perpisahan seorang guru yang akan berpindah ke Sekolah Menengah Sayyidina Ali, Kuala Belait

Rabu, 4 Febuari, 1.45 petang- Saya menghadiri Kursus Induksi Bagi Guru-Guru Baru. Kurusus ini bertujuan untuk memperkenalkan latar belakang sekolah, struktur, pentadbiran, pengurusan sekolah,kewangan sekolah dan sebagainya kepada peserta kursus terutamanya guru-guru baru.

Bermula 2 Febuari hingga 4 Febuari, saya telah memasuki Menengah Atas 4A bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sastera untuk memerhati, dan bermula 5 Febuari saya mula menjalankan tugas latihan mengajar bagi kedua-dua mata pelajaran.

 

Refleksi Kendiri

Saya hanya berkesempatan untuk masuk ke kelas Menengah Atas 4A untuk membuat pemerhatian, manakala kelas tahun 7E tidak berkesempatan untuk membuat pemerhatian kerana ketika itu saya menghadiri taklimat untuk guru-guru yang menjalani latihan mengajar. Pada minggu pertama, 5 Febuari, saya diberi kepercayaan untuk memulakan latihan mengajar saya bagi mata pelajaran Sastera. Pada 7 Febuari, buat pertama kalinya masuk ke kelas tahun 7E, saya berhadapan dengan tingkah laku pelajar yang perlu di kawal untuk menghasilkan suasana pembelajaran yang sesuai dan dapat diterima. Dalam mengawal tingkah laku pelajar agar kelas dapat dikawal, peranan psikologi amatlah penting. Pertama kali masuk ke kelas tersebut saya telah mengenakan beberapa peraturan untuk dipatuhi oleh pelajar. Di samping itu juga saya telah membuat beberapa silap mata sebagai ganjaran kepada pelajar yang dapat menjawab dengan betul dan menyiapkan tugas yang diberikan. Ganjaran amatlah penting agar pelajar bermotivasi dan didorong untuk belajar. Melalui latihan yang diberikan, majoriti pelajar dapat menyiapkan dan menjawab latihan yang diberikan denga betul.

Bagi kelas 4A, tidak ada masalah yang timbul dalam mengawal kelas, kerana rata-rata pelajar sudah berfikiran matang, namun psikologi juga amatlah penting disamping motivasi dan dorongan, agar pelajar dapat belajar dengan berkesan.

Catatan Log dan Refleksi Kendiri 1 Pelajar C

Catatan Log

Saya telah memulakan latihan mengajar di Sekolah Menengah P.A.P.H.R.S.B Lumut pada hari isnin iaitu 2hb februari 2009. Sepanjang minggu ini saya telah diberi peluang membuat pemerhatian terlebih dahulu sebelum memulakan latihan mengajar. Pada hari pertama, saya dan rakan saya telah diberi taklimat mengenai prosedur sekolah ini dan juga peraturan yang patut dipatuhi oleh semua guru-guru yang sedang berlatih. Taklimat ini telah dikendalikan oleh penolong pengetua dan juga ketua jabatan di sekolah ini. Jadual dan juga segala buku teks juga telah diberikan pada hari yang sama. Saya telah diberi kepercayaan untuk mengajar mata pelajaran bahasa Melayu bagi menengah 4A dan juga menengah atas 4C bagi mata pelajaran Kesusasteraan Melayu. Kami turut diperkenalkan dengan guru-guru dalam Jabatan Bahasa Melayu, Kesusasteraan Melayu dan juga Melayu Islam Beraja. Pada hari rabunya iaitu 4hb februari 2009, saya dan rakan yang lainnya dipanggil pada sebelah petang bagi sesi induksi bagi guru-guru baharu dan juga guru latihan seperti saya. Selain itu juga, saya  berpeluang memasuki menengah atas 4C pada period 4 bagi memperkenalkan diri saya kepada para pelajar dalam kelas ini. Kelas ini telah menunjukkan respon yang baik terhadap soalan yang telah saya ajukan. Pada hari sabtu (7 februari 2009), pada pukul 11.00-11.30 pagi iaitu selama setengah jam, saya telah mengambil kesempatan untuk memasuki kelas menengah atas 4A bersuai kenal dengan pelajar-pelajar yang mengambil Bahasa Melayu di dalam kelas ini. Kedua-dua kelas ini iaitu menengah atas 4A dan 4C menunjukkan sikap yang aktif dalam setiap pertanyaan saya kepada mereka.

 

Refleksi Kendiri

Banyak perlu saya perbaiki sepanjang pemerhatian saya di sekolah ini terutama sekali kepada bakal kelas yang akan saya kendalikan iaitu menengah atas 4A dan juga 4C. Manakala pelajar perempuan dalam menengah atas 4C ada menunjukkan sikap kurang berminat dalam mempelajari mata pelajaran kesusasteraan Melayu kerana mereka beranggapan pelajaran ini sukar untuk difahami. Jadi, perkara ini boleh menyebabkan para pelajar bersikap pasif sahaja. Selain itu, para pelajar tidak begitu terdedah kepada variasi-variasi aktiviti yang boleh membantu dalam pengajaran mereka kerana guru mereka sebelumnya menggunakan cara ‘chalk and talk’.  Oleh itu, saya akan cuba memperbanyak aktiviti yang sesuai dengan tajuk pelajaran yang akan saya ajari (Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu) memandangkan pelajar-pelajar dalam kelas 4A lebih kepada menyalin nota berbanding dengan mengadakan aktiviti yang boleh menghasilkan para pelajar yang bersikap aktif.

Ahad, 8 Februari 2009

Catatan Log dan Refleksi Kendiri 1 Pelajar B

 

Catatan Log

 

Pada hari Khamis bersamaan dengan 5 haribulan Februari 2009, saya telah mengajar kelas tahun 7B. Seramai sepuluh pelajar lelaki dan lapan orang pelajar perempuan. Mata pelajaran yang saya ajarkan ialah Bahasa Melayu iaitu peribahasa. Saya menggunakan alat bantu mengajar kad manila dan di dalamnya saya sertakan petikan teks yang mengandungi soalan bagi pembayang maksud bagi peribahasa yang saya ajarkan. Saya juga telah mengedarkan kertas soalan kepada setiap pelajar untuk membina ayat bagi peribahasa yang telah saya sediakan. Hampir semua pelajar mengambil bahagian dan aktif menjawab soalan yang saya berikan dan ingin mencuba untuk menjawab soalan yang saya berikan.

 

Refleksi Kendiri

Sepanjang pengajaran saya, saya dapati pelajar kelas tahun 7B terdiri daripada pelajar-pelajar yang aktif. Oleh yang demikian saya lebih cenderung untuk memperbanyak aktiviti berkumpulan. Namun kebanyakan pelajar juga agak kurang dalam menguasai bahasa Melayu standard dengan mahir dan terdapat seorang pelajar masih lagi menggunakan bahasa Melayu Brunei dalam membina ayat di dalam kertas soalan (bagi perkataan ‘inda tahu’). Oleh itu saya berpendapat adalah saya akan mempraktikkan dan menggunakan bahasa Melayu standard dengan baik agar pelajar-pelajar saya dapat mengikuti dan mempelajari bahasa Melayu dengan baik.

Catatan Log dan Refleksi Kendiri 1 Pelajar A

Pada minggu pertama kami berada di sekolah iaitu merujuk kepada hari-hari persekolahan sahaja, saya selaku salah seorang pelajar yang mengikuti kursus Latihan Mengajar di Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah telah melalui serba sedikit pengalaman menjadi seorang bakal guru baharu. Saya telah diwakilkan untuk mengambil alih kelas Menengah Atas 4B (bagi mata pelajaran Sastera) dan, Menengah Atas 4Sci1 (bagi mata pelajaran Bahasa Melayu) sepanjang tempoh kursus yang dijalankan. Walau bagaimanapun, untuk mengenali lebih dekat pelajar-pelajar yang akan diajar dalam setiap kelas berkenaan, pada minggu pertama ini, kami terlebih dahulu diberi peluang untuk membuat pemerhatian tentang cara guru (yang asal) mengajar dan mengawal mereka, mengenali sasaran pelajar yang lemah dan memerlukan perhatian yang lebih, berkongsi pengalaman serta ide dengan pelajar-pelajar tentang cara yang terbaik untuk menghadapi liku-liku seorang pelajar sehingga mencapai ke menara gading, menyentuh kepentingan mata pelajaran yang akan diajar (termasuk Bahasa Melayu dan Sastera), dan diselitkan juga penerangan ringkas berkenaan dengan peraturan-peraturan yang perlu diikuti sewaktu di dalam kelas (hal ini merangkumi disiplin diri seperti mengelakkan pelajar mempunyai kuku panjang, pelajar lelaki dimestikan bersongkok, setiap pelajar hendaklah berpakaian kemas, suasana kelas yang bersih dan kondusif seperti meja dan kerusi yang disusun dalam keadaan yang betul, papan putih yang sentiasa bersih sebelum memulakan pelajaran dan sebagainya). Dalam pada itu juga, saya telah mengambil kesempatan untuk mengenali setiap pelajar dengan lebih dekat iaitu dengan mengarahkan mereka berdiri di hadapan kelas dan menyebut nama mereka serta nama singkatan mereka. Dengan cara ini akan memudahkan saya untuk mengingati nama setiap pelajar dan seterusnya memberi mereka peluang untuk tampil kehadapan tanpa rasa malu. Tambahan lagi, cara sedemikian akan menjadikan mereka lebih aktif dalam kelas, dan seterusnya memudahkan saya untuk mencari dan menilai aktiviti yang terbaik untuk mereka jalani (ini termasuk aktiviti kelas sama ada secara individu mahupun berkumpulan). Melalui pemerhatian yang telah dibuat, kebanyakkan guru masih menggunakan alat bantu yang berupa ‘Chalk and Talk’, dan pelajar-pelajar kurang mengambil perhatian serta mudah berasa bosan. Dengan demikian, saya sebagai guru baharu (yang masih dalam latihan), akan berusaha sedaya upaya saya untuk menggunakan alat bantu yang lebih baik dan dapat menarik perhatian pelajar. Ini termasuk menyediakan aktiviti-aktiviti yang lebih memusatkan pelajar. Saya juga akan berusaha untuk mengaplikasikan ilmu pengetahuan yang telah dipelajari di UBD sebagai tulang belakang saya dalam membina ‘Teaching Aids’ atau alat bantu yang terbaik mengikut tahap kemampuan serta kebolehan pelajar. Hal ini tidak akan mungkin berhasil tanpa kekuatan, ketabahan, dan inisiatif yang mendalam dalam diri seorang pelajar mahupun guru. Justeru itu juga, saya selaku guru yang masih baharu juga masih memerlukan tunjuk ajar dan nasihat daripada guru-guru lama sebagai ‘sempadan’ untuk saya menjalani latihan mengajar dengan lebih berkesan lagi.            

Isnin, 19 Januari 2009

PETUA LM 4: Gunakan peralatan yang sesuai

Ketika berbincang atau memberi penerangan, gunakan peralatan yang sesuai secara berkesan. Dedahkan pelajar dengan teknologi pendidikan yang canggih seperti Projektor Powerpoint. Penggunaannya akan memudahkan perbincangan dan penerangan. Pastikan awda menggunakan alat penunjuk yang sesuai dan tidak menghadang pandangan pelajar. Posisi badan juga perlu diperhatikan. Pastikan awda sentiasa menghadap pelajar ketika berbincang walaupun terpaksa menggunakan tangan kiri ketika awda berdiri di sebelah kiri papan/layar putih. Selain itu, pastikan jenis dan saiz abjad yang digunakan mudah dibaca mampu dilihat oleh pelajar yang duduk paling belakang. Penggunaan warna yang sesuai dan menarik serta rajah, carta dan gambar akan menimbulkan keseronakan belajar. 

PETUA LM 3: Laksanakan aktiviti pembentangan

Salah satu aktiviti pengajaran berpusatkan pelajar ialah pembentangan. Pelajar perlu dilatih untuk berani tampil ke depan bilik darjah dan menghadapi kawan-kawan ketika membentangkan hasil kerjanya. Aktiviti ini bukan sahaja melatih pelajar meningkatkan kemahiran bertutur, malahan mampu meningkatkan keyakinan untuk berkomunikasi menggunakan bahasa Melayu baku. Sebagai langkah permulaan, pembentangan secara berkumpulan boleh dilaksanakan. Setelah pelajar semakin biasa dengan aktiviti ini, pembentangan secara berpasangan boleh dicuba dan akhirnya pembentangan individu. Di peringkat awal, guru boleh berdiri berdekatan pelajar yang membentang agar pelajar berkenaan berasa diberi perhatian dan mendapat sokongan moral. Setelah pelajar lebih berkeyakinan, guru boleh berdiri lebih jauh atau duduk sebagai pendengar. Jangan lupa untuk memberikan pujian yang berpatutan setelah selesai pembentangan. Di peringkat awal, tumpukan perhatian terhadap kekuatan pelajar. setelah aktiviti ini terlazim, barulah guru berusaha memperbaiki kelemahan pelajar.

PETUA LM 2: Pamerkan hasil kerja pelajar

Sementara menunggu pelajar-pelajar lain menyiapkan kerja mereka, hasil kerja pelajar yang sudah siap bolehlah dipamerkan di tempat yang sesuai seperti papan putih, bahagian belakang bilik darjah atau di sudut bacaan. Hasil kerja yang dipamerkan akan menimbulkan rasa bangga dan semangat belajar bagi pelajar yang empunya kerja manakala pelajar-pelajar lain akan lebih bermotivasi untuk menyelesaikan kerja mereka. Ganjaran positif seperti pujian patut diberikan kepada pelajar yang berjaya menyiapkan tugasan manakala rangsangan yang berterusan diberikan kepada pelajar lain sambil terus menjalankan pemantauan yang berkesan.  

PETUA LM 1: Pemantauan Kerja Berkumpulan

Ketika melaksanakan kerja berkumpulan, guru hendaklah menjalankan tugas pemantauan dengan baik. Pastikan semua ahli kumpulan terlibat dan memainkan peranan masing-masing. Guru boleh menjadi ahli sementara bagi kumpulan yang agak lemah atau kelihatan tiada kemajuan. Setelah kumpulan tersebut mampu digerakkan dan bermotivasi untuk bekerja, barulah guru beralih kepada kumpulan lain. Aktiviti berkumpulan akan berfungsi hanya jika setiap ahli kumpulan diberikan peranan yang aktif. Pastikan mereka memahami tugas dan objektif kerja berkumpulan.

Ahad, 18 Januari 2009

TUGASAN 
PELAJAR LATIHAN MENGAJAR

Awda diminta untuk menyediakan perkara berikut:

1. Profil (sekali sahaja)
2. Kata hikmat tentang pendidikan (sekali sahaja)
3. Log Harian atau diari (setiap kali mengajar) - WAJIB
4. Penilaian kendiri (setiap kali mengajar) - WAJIB
5. Kemusykilan (jika ada)
6. Catatan pengalaman lain (jika ada)
7. Gambar bersama catatan ringkas (jika ada)
8. Respons untuk kawan (jika ada)



Profil
Awda diminta untuk menyediakan catatan profil tentang diri awda sendiri. Isi catatan tersebut terpulang kepada diri awda sendiri. Namun begitu, catatan tentang bidang atau pengkhususan yang awda ikuti di UBD mungkin berguna kepada pembaca. Selain itu, awda boleh mengongsikan tentang cita-cita, prinsip hidup dan seumpamanya.

Kata Hikmat
Awda diminta untuk mencipta kata-kata hikmat tentang pendidikan. Ia mungkin berupa suatu pandangan tentang kepentingan pendidikan, hala tuju pendidikan, kemuliaan kerjaya guru dan sebagainya. Kata-kata hikmat tidak perlu panjang. Kata-kata hikmat lebih baik jika ringkas tetapi padat dan bermakna.

Log Harian
Catatan ini diperlukan setiap kali awda baru selesai mengajar di bilik darjah pilihan awda. Awda hanya perlu memilih sebuah kelas bahasa atau sastera. Pastikan awda hanya menggunakan nama samaran baik bagi diri awda sendiri mahupun orang atau pelajar yang awda ceritakan. Namun nama-nama samaran itu hendaklah dihafal atau ada tersimpan dalam catatan awda bagi memudahkan awda membuat rujukan kelak. Butiran bilik darjah sebenar boleh disebut tetapi nama sekolah kenalah dirahsiakan. Jika awda ingin, awda boleh menggunakan nama sebenar awda. Log harian yang baik akan terhasil jika awda menulisnya dalam keadaan yang tenang dan menggunakan mod penceritaan. Inilah masanya awda menggunakan bakat ercerita yang terpendam.

Penilaian Kendiri
Catatan ini juga diperlukan setiap kali awda baru selesai mengajar. kali ini awda memfokuskan perbincangan tentang kekuatan dan kelemahan yang baru saja berlaku ketika awda mengajar. Secara refleksi, cubalah awda nasihati diri sendiri dan rancang suatu tindakan yang mampu memperbaiki kelamahan yang awda lakukan. 

Kemusykilan
Kemusykilan mempunyai pengertian yang sangat luas. Melalui catatan ini awda berpeluang meluahkan kekecewaan, kekesalan, kesulitan, kesusahan, kesukaran dan seumpamanya tentang apa saja. Gunakan kesempatan ini untuk meluahkan segala yang terbuku di hati. Mungkin kawan kamu ingin memberikan respons atau mencadangkan suatu tindakan yang berguna.

Catatan Pengalaman Lain 
Jika ada, awda boleh mencatatkan apa saja pengalaman yang ingin dikongsikan. Pengalaman ini tidak berkenaan dengan tugas mengajar secara langsung, antaranya pengalaman hari pertama datang ke sekolah, hubungan awda dengan guru-guru di sekolah, penglibatan awda dalam aktiviti sekolah, majlis atau acara di sekolah dan seumpamanya.

Gambar Bersama Catatan
Jika ada, awda boleh menyumbangkan gambar-gambar yang bersesuaian. Gambar yang jelas menunjukkan wajah seseorang perlu mendapatkan keizinan terlebih dahulu. Berikan catatan ringkas yang berkenaan dengan gambar tersebut.

Respons Untuk Kawan
Jika ada, awda boleh memberikan respons terhadap apa saja catatan yang dibuat oleh kawan kamu. Respons tersebut boleh berupa kongsi cerita yang sama, nasihat, cadangan tindakan dan seumpamanya.