Rabu, 6 Mei 2009

Catatan Log dan Refleksi Kendiri 12 Pelajar B

Catatan Log dan Refleksi Kendiri
Pada minggu ini, saya telah menjalankan tugas seperti biasa. Dalam laporan ini, saya hanya menyatakan mengenai mata pelajaran Kesusasteraan Melayu sahaja. Sebagai contoh, pada hari isnin minggu lepas (27 Mei 2009), saya telah mengajar tentang proses menyediakan bahan-bahan slaid (sila lihat lampiran 1). Isi kandungannya ialah mengenai Sinopsis, Peristiwa-peristiwa penting dan Plot yang berkaitan dengan Cerpen Anak-anak Tasim Jali. Pelajar telah dibimbing untuk menggunakan perisian Microsoft Powerpoint dengan menggunakan komputer riba yang berjenama Mac. Hal ini disebabkan oleh kewujudan komputer riba berjenama ini semakin meningkat pada setiap sekolah menengah. Sebelum pengajaran bermula, pelajar terlebih dahulu didedahkan kepada beberapa istilah mudah yang berkaitan dengan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) agar pelajar dapat memahami hal-hal yang berkaitan dengan penggunaan komputer. Alhamdullilah pelajar dapat memahaminya dengan baik memandangkan perisian yang terdapat dalam komputer riba berjenama Mac ini hampir serupa dengan penggunaan perisian dalam komputer riba berjenis yang lain, sebagai contoh Acer, Dell,Vaio dan sebagainya. Lagipula, saya telah menyediakan beberapa langkah mudah untuk menggunakan perisian ini. Selain itu juga, melalui perisian ini, saya telah mendedahkan kepada pelajar cara-cara untuk mengisi isi kandungan slaid, ini termasuk cara-cara untuk menambah slaid yang baharu, pengisian teks-teks yang diperlukan di dalam slaid, menambah gambar-gambar serta video-video yang berkaitan dengan tajuk pelajaran, mengubahsuai corak latar bagi setiap slaid dan sebagainya. Untuk mendapatkan imej-imej dan klip video yang sesuai dengan persembahan slaid, saya telah mendedahkan pelajar tentang cara-cara untuk menyimpan, dan memuat turun bahan-bahan yang diperlukan tersebut daripada internet (iaitu sama ada menggunakan laman sesawang www.google.com ataupun www.yahoo.com bagi mendapatkan imej-imej tertentu, dan www.youtube.com untuk mendapatkan klip video). Walau bagaimanapun, cara-caranya cuma dijelaskan melalui verbal sahaja bukannya praktikal kerana pemuat turun yang diperkenalkan kepada pelajar (seperti www.tubeg.com, www.downloader.com dan www.hippo.com kurang berkesan melalui penggunaan komputer riba berjenis Mac ini. Hal ini terjadi kerana perisian yang diaplikasikan di dalam komputer riba ini adalah tulen, dan sukar bagi beberapa pemuat turun yang bukan asli (atau cetak rompak ) untuk menembusinya. Insyallah, hasil pembuatan persembahan slaid secara berkumpulan ini akan diadakan pada hari rabu, 6 Mei 2007.

Catatan Log dan Refleksi Kendiri 12 Pelajar E

Catatan Log
Pada minggu ke 14 ini, saya telah mendedahkan pelajar-pelajar saya bagi mata pelajaran Kesusasteraan Melayu dengan menggunakan Microsoft Office word 2003 atau 2007 bagi membuat sinopsis bagi Antologi cerpen ‘Buat saja’ secara langsung. Bagi pelajar-pelajar saya yang berada dalam tingkatan 4A (Bahasa Melayu), aktiviti bahas telah dan ianya berlangsung dengan lancar sekali. Kesemua pelajar menunjukkan keyakinan yang sangat tinggi semasa aktiviti bahas sedang dilangsungkan. Pada hari khamis yang lalu iaitu 30 April 2009, kesemua pelajar yang berada dalam tingkatan 4 yang mengambil mata pelajaran Kesusasteraan Melayu telah mengikuti pertandingan drama atau teater yang telah dianjurkan oleh saya dan rakan-rakan saya (guru-guru pelatih). Beberapa sekolah menengah dari daerah Belait telah datang bagi menyaksikan pertandingan ini yang berlangsung pada sebelah petang. Alhamdulilah, pertandingan ini berjalan dengan lancar sekali dan telah membawa seribu kejayaan yang sangat memberangsangkan.

Refleksi Kendiri
Pelajar-pelajar menunjukkan minat yang sangat tinggi dalam penggunaan alat komputer, pekara ini terbukti apabila mereka kelihatan sangat berkeyakinan dalam menggunakannya. Aktiviti bahas juga sangat sesuai dengan tahap kemampuan pelajar-pelajar saya, memandangkan mereka dapat menjalankan aktiviti bahas dengan begitu sempurna. Dengan aktiviti drama yang telah diadakan, pelajar-pelajar menunjukkan komitmen yang sangat baik dan sikap bekerjasama jelas terpancar bagi setiap kumpulan. Pertandingan drama yang telah dianjurkan oleh kami telah membuka mata pihak sekolah bahawa mata pelajaran Kesusasteraan Melayu boleh dikaitkan dengan aktiviti drama dalam membantu memahami jalan cerita (cerpen atau Hikayat) malah ianya juga dapat melahirkan bakat atau potensi lakonan pelajar-pelajar di sekolah itu. Pertandingan drama ini telah menjadikan memori yang sangat indah bagi guru-guru dan juga pelajar-pelajar yang telah berpartisipasi dalam aktiviti drama ini.

Catatan Log dan Refleksi Kendiri 14 Pelajar A

Catatan Log

Pada hari Selasa bersamaan 28hb April 2009, saya telah mengajarkan tatabahasa iaitu tajuknya ialah perambahan Brunei. Sebelum saya memulakan pengajaran, saya menyediakan beberapa perkataan seperti ‘kikik’, ‘sasaban’, ‘tunggal’, ‘mulut’ dan sebagainya. Kemudian saya menerangkan bahawa setiap perkataan yang saya sediakan itu mempunyai hubungkaitnya dengan perambahan Brunei. Saya memulakan pengajaran saya dengan menerangkan dahulu apakah itu perambahan Brunei dan fungsinya dalam masyarakat Melayu Brunei. Setelah itu saya memberikan nota edaran kepada mereka. Sebagai aktiviti saya mengarahkan mereka sendiri untuk mencari makna perambahan Brunei yang telah saya sediakan dan saya hanya memberi pembayang maksud sahaja. Selepas pelajar dapat mencari makna perambahan Brunei, kemudian saya membahagikan pelajar kepada beberapa kumpulan kecil iaitu tiga hingga empat orang dalam satu kumpulan. Selepas itu saya mengarahkan mereka untuk melakonkan dialog yang mengandungi maksdu perambahan Brunei. Sepanjang pengajaran saya pelajar agak aktif namun ada segelintir pelajar yang tidak memberi tumpuan.

Refleksi Kendiri
Sepanjang pengajaran saya, pelajar dapat mengikuti pengajaran dan objektif pelajaran saya tercapai. Namun semasa saya membahagikan pelajar kepada beberapa kumupulan kecil, terdapat sebilangan pelajar yang tidak memberi perhatian kerana mereka mengambil kesempatan untuk bercerita dengan rakan mereka dalam satu kumpulan yang mereka tentukan sendiri. Oleh itu saya berpendapat pada pengajaran saya akan datang, pembahagian kumpulan mestilah ditentukan oleh saya terlebih dahulu. Pada 30hb April, saya tidak dapat mengajar pelajar saya kerana ada latihan khas yang dibuat khusus untuk pelajar menengah atas 4D yang akan membuat pertandingan pada sebelah petang. Oleh itu saya terpaksa menunda pengajaran saya pada minggu yang akan datang.

CATATAN LOG DAN REFLEKSI KENDIRI MINGGU KE 7 PELAJAR 8 SAINS 1

CATATAN LOG DAN REFLEKSI KENDIRI MINGGU KE-7 PELAJAR 8 SC 1

31 MAC &1HB APRIL: Catatan log dan refleksi kendiri pada penggal kedua kali ini, saya menumpukan perhatian kepada kelas 8 SC 1. Pada minggu ini saya menagajarkan tatabahasa iaitu binaan dan susunan ayat (subjek dan predikat, pola ayat dasar, susunan ayat biasa dan ayat songsang), dan Kata Tugas (Kata Arah, Kata Perintah, Kata Seru, Kata nafi dan Kata Pemeri). Sewaktu mengajarkan binaan dan susunan ayat, guru menerangkan kepada pelajar subjek dan predikat beserta contoh, kemudian diterangkan lagi empat pola ayat dasar beserta contoh, dan seterusnya guru menerangkan ayat biasa dan ayat songsang beserta contoh melalui lcd projektor. Untuk memastikan kefahaman pelajar terhadap pelajaran yang telah disampaikan, guru memberi tugasan mengisi tempat kosong dengan ayat-ayat yang sesuai mengikut frasa yang telah diarahkan dan menyatakan ayat-ayat mengikut frasa yang betul. Pada 1hb April, saya mengajarkan Kata Tugas. Tujuan saya mengajarkan Kata Tugas kepada pelajar supaya pelajar dapat menggunakan Kata Tugas dengan tepat mengikut fungsinya. Dalam induksi set, guru mengarahkan beberapa orang pelajar menutup pintu sebagai contoh yang paling mudah untuk memberi rangsangan kepada pelajar. Kemudian pelajar diterangkan terhadap arahan yang telah diberikan oleh guru sebentar tadi. Sebagai peneguhan dan penilaian, guru memberikan tugasan mengisi tempat kosong dan membina ayat mengikut Kata tugas yang diberikan.

PENILAIAN KENDIRI

Pada minggu ke-7 ini, saya amat berpuas hati terhadap pengajaran yang disampaikan kepada 8 Sc 1, hal ini kerana pelajar yang berada di dalam kelas ini mudah memahami pelajaran yang disampaikan dan kesemua mereka ini adalah pelajar yang memperolehi keputusan yang cemerlang sewaktu menduduki peperiksaan PSR. Justeru hal ini memudahkan guru menerangkan serta menyampaikan isi pelajaran kepada mereka. Ditambah lagi, hasil kerja yang diberikan amat memuaskan seperti tugasan kerja kelas dan kerja rumah dihantar mengikut tarikh yang ditetapkan oleh guru.

CATATAN LOG DAN REFLEKSI KENDIRI MINGGU KE-8 PELAJAR 8 SC 1

7&8HB APRIL 2009: Pada minggu ke - 8 ini, guru mengajarkan Perambahan Brunei dan perihal ayat iaitu ayat Kata Tugas ( ayat arah, ayat perintah, ayat seru, ayat nafi dan ayat pemeri). Sebagai rangsangan kepada pelajar sewaktu mengajarkan Perambahan Brunei, guru bertanya kepada pelajar tentang Perambahan Brunei yang pelajar masih ingat sewaktu di menengah 1. Kemudian guru menerangkan beberapa Perambahan Brunei kepada pelajar beserta contoh melalui lcd projektor. Di samping itu, guru mengaitkan isi pelajaran dengan kehidupan yang berlaku dalam masyarakat berdasarkan Perambahan Brunei yang diterangkan oleh guru. sebagai pengukuhan guru memberikan soalan latihan iaitu mengisi tempat kosong dan membina ayat. Pada hari Rabu, guru mengajarkan perihal ayat kepada pelajar. Sewaktu mengajarkan perihal ayat Kata Tugas kepada pelajar, guru mengadakan aktiviti berkumpulan. Setiap kumpulan diarahkan oleh guru untuk membina ayat dengan menggunakan 5 Kata Tugas. Kemudian setiap kumpulan melantik ketua dan wakil kumpulan menulisnya di papan putih. Pelajar dibahagikan kepada 5 kumpulan.

PENILAIAN KENDIRI

Pada minggu ini, pelajar memberikan kerjasama sewaktu guru mengadakan aktiviti berkumpulan. Walau bagaimana pun, terdapat beberapa orang pelajar tidak aktif sewaktu guru bertanya tentang beberapa soalan terutama pelajar perempuan. Hal ini memang sudah diperhatikan oleh guru sewaktu mengambil alih kelas 8 SC 1. Namun hal ini dapat diatasi sewaktu guru mengadakan aktiviti berkumpulan. Pelajar memberikan kerjasama dengan ahli kumpulan.

CATATAN LOG DAN REFLEKSI KENDIRI MINGGU KE-9 PELAJAR 8 SC 1

14&15HB April 2009: Pada minggu ini, saya mengajarkan meringkaskan karangan dan merumus. Sewaktu mengajarkan meringkaskan karangan teks syarahan, guru menerangkan secara ringkas panduan meringkaskan karangan kepada pelajar melalui lcd projektor. Pelajar diarahkan membaca dan memahami teks syarahan terlebih dahulu sebelum membuat ringkasan. Guru mengadakan aktiviti perbincangan bersama pelajar terhadap teks syarahan yang diberikan. Kemudian pelajar memberikan maklumat yang terdapat di dalam teks syarahan hasil perbincangan bersama ahli kumpulan. Pada 15hb April, saya mengajarkan merumus mengenai gambar rajah punca-punca berlakunya kebakaran. Saya mengadakan aktiviti berkumpulan sewaktu mengajarkan merumus gambar rajah supaya pelajar dapat berkongsi maklumat dan memberikan isi-isi rumusan yang berkaitan dengan gambar rajah. Setelah itu, setiap kumpulan memberikan salah satu punca-punca yang menyebabkan berlakunya kebakaran. Sebagai peneguhan, pelajar diberikan tugasan membuat rumusan berdasarkan isi-isi yang dibincangkan bersama ahli kumpulan.

PENILAIAN KENDIRI

Selama 9 minggu bersama pelajar 8 SC 1, saya bertambah yakin dan dapat memperbaiki kelemahan sewaktu mengajar di dalam kelas. Saya sudah mempunyai keyakinan mengawal kelas dengan baik dan pelajar juga memberikan kerjasama sewaktu guru mengarahkan membentuk kumpulan ketika mengadakan aktiviti berkumpulan. Memang tidak dinafikan bahawa tugas sebagai guru banyak cabaran dan dugaan terutama melayan karenah pelajar yang mempunyai berbagai latar belakang. Malah saya amat kagum dengan kemampuan salah seorang pelajar yang bukan penutur bahasa Melayu dapat bertutur dan menulis dalam bahasa Melayu dengan baik.

CATATAN LOG DAN REFLEKSI KENDIRI MINGGU KE-10 PELAJAR 8 SC 1

21&22HB APRIL 2009: Pada minggu ini, saya mengajarkan teks klasik kepada pelajar. sebagai bahan teks klasik, saya menggunakan Hikayat Panji Semirang sebagai bahan bacaan dan nota edaran kepada pelajar. Sewaktu mengajarkan teks klasik ini kepada pelajar, guru memberikan penerangan serta mengadakan perbincangan bersama pelajar tentang jalan cerita teks tersebut. Pada mulanya pelajar tidak memahami isi teks tersebut, namun setelah guru menyenaraikan watak-watak serta menceritakan lebih terperinci teks tersebut kepada pelajar, baharulah pelajar memahami teks yang diberikan. Guru mengadakan aktiviti berkumpulan untuk memberikan makna perkataan klasik yang dicondongkan di dalam teks. Pada hari Rabu , 22hb April saya mengadakan ujian topikal 1 penggal kedua kepada pelajar. Soalan yang diberikan kepada pelajar ialah tatabahasa dan Perambahan Brunei iaitu pelajaran pada minggu ke -7 dan ke- 8.

PENILAIAN KENDIRI

Mengajarkan teks klasik kepada tahun 8 adalah sesuatu yang mencabar kerana pelajar tidak terdedah kepada karya sastera sebelumnya. Mereka tidak memahami teks tersebut kerana bahasa yang digunakan adalah bahasa klasik dan sukar bagi pelajar memahami jalan cerita tersebut. Namun setelah guru memberikan penerangan yang terperinci baharulah pelajar dapat memberikan rangsangan terutama beberapa perkataan klasik yang dicondongkan. Untuk memahami teks klasik ini memerlukan pemahaman yang dalam terutama bahasa klasik. Justeru, pelajar hendaklah didedahkan teks klasik sejak dari sekolah rendah lagi agar mereka menguasai kosa kata klasik. Manakala perperiksaan yang telah dijalankan, secara keseluruhannya markah pelajar kelas ini amat memuaskan dan tidak terdapat pelajar yang gagal dalam ujian tersebut.

CATATAN LOG DAN REFLEKSI KENDIRI MINGGU KE-11 PELAJAR 8 SC 1

28&29HB APRIL 2009: Hari Selasa, saya mengajarkan Kata Hubung kepada pelajar. Sebagai induksi set, guru menggunakan teknik bercerita kepada pelajar dengan menggunakan Kata Hubung yang mudah dan sesuai sebagai rangsangan sebelum memulakan pengajaran. Kemudian pelajar ditanya oleh guru tentang kata yang digunakan oleh guru untuk mengabungkan ayat sewaktu becerita. Sebagai peneguhan, guru mengadakan aktiviti berkumpulan iaitu setiap kumpulan diarahkan membina ayat dengan Kata Hubung yang sesuai dan hasil perbincangan setiap kumpulan ditulis di papan putih. Pelajar juga diberikan tugasan mengisi tempat kosong dengan Kata Hubung yang sesuai di dalam buku latihan pelajar. Hari Rabu 29 hb April, saya mengajarkan lisan kepada pelajar iaitu Pantun. Sebagai induksi set, guru mendengarkan sebuah lagu yang bertajuk Joget Berbalas Pantun yang dinyanyikan oleh kumpulan Senario. Pelajar diarahkan oleh guru untuk menghayati lirik lagu tersebut dan kemudian bertanya lirik lagu tersebut. Lagu tersebut diselitkan dengan beberapa rangkap pantun jenaka yang berkaitan dengan tajuk yang disampaikan oleh guru. setelah itu menerangkan jenis-jenis pantun kepada pelajar.

PENILAIAN KENDIRI

Sewaktu mengajarkan pantun kepada pelajar, guru mengalami masalah iaitu lcd projektor tidak dapat ditayangkan atas sebab teknikal. Hal ini menyukarkan guru menayangkan jenis-jenis pantun beserta contoh. Namun untuk mengatasi masalah tersebut, guru menulis jenis-jenis pantun di papan putih. Disebabkan masalah ini, guru tidak dapat mengadakan aktiviti berkumpulan iaitu setiap kumpulan diarahkan membuat pantun serta mendklamasikan pantun.

CATATAN LOG DAN REFLEKSI KENDIRI MINGGU KE-12 PELAJAR 8 SC 1

5&6HB MEI 2009: Pada minggu ini guru mengadakan ujian topikal 2 penggal ke-2 kepada pelajar. soalan yang diberikan adalah mengenai soalan fahaman teks klasik dan teks cerpen dan juga surat kiriman rasmi iaitu membuat pesanan. 6hb Mei, saya mengajarkan Peribahasa jenis pepatah kepada 8 sains 1. Aktiviti yang diadakan ialah membuat kad secara berkumpulan. Pelajar dibahagikan kepada 6 kumpulan. Setiap kumpulan dikehendaki menghasilkan sama ada kad jenis kalendar, penanda buku, tabong duit atau bingkai gambar yang mengandungi pepatah yang diajar oleh guru. kad yang dihasilkan akan didemonstrasikan sendiri oleh wakil kumpulan. Tugasan untuk menghasilkan kad ini memerlukan kreativiti para pelajar agar kad yang dihasilkan lebih menarik dan kreatif.

PENILAIAN KENDIRI

Setelah memberikan pelajar ujian topikal 2, guru mengharapkan agar pelajar mendapat markah yang baik serta pelajar dapat meningkatkan pencapaian mereka. Hal ini dapat dibuktikan pada ujian topikal 1 penggal 2 yang lalu iaitu kesemua pelajar 8 sains 1 mencapai keputusan yang amat memuaskan. Oleh itu, pada peperiksaan kali kedua ini saya berharap keputusan pelajar akan bertambah baik dan pelajar dapat mengekalkan prestasi mereka.

Isnin, 4 Mei 2009

Catatan Log dan Refleksi Kendiri 11, pelajar 4C

Catatan Log

Pada hari Khamis 30 April 2009, saya telah memasuki kelas 4C bagi mengajarkan Hikayat Awang Kamaruddin bab 9. Pada kali ini, pelajar dikehendaki untuk melakonkan jalan cerita dalam bab tersebut. Tugasan yang diberikan kepada pelajar ialah, saya telah mengarahkan pelajar untuk membuat skrip lakonan berdasarkan idea pelajar masing-masing seminggu yang lalu. Dalam aktiviti lakonan tersebut, saya telah memilih 4 orang pelajar untuk melakonkan watak Awang Kamaruddin, Dang Kasuma, Dang Kumala dan seorang pencerita. Lakonan yang dibawakan pada awalnya kurang berjaya kerana pelajar-pelajar berasa malu. Kemudian saya telah mengarahkan pelajar untuk melakonkan lagi sekali. Pada kali ini, saya telah memilih 2 orang pelajar, sementara dua orang pelajar lagi mahu melibatkan diri secara sukarela. Lakonan pusingan kedua ini, pelajar dapat melakonkannya dengan baik. Pelajar tidak berasa kekok ataupun malu, malah dapat mempelbagaikan gaya lakonan mereka. Aktiviti di dalam kelas ialah mengarahkan pelajar untuk menyenaraikan nama-nama watak dan latar tempat. Kemudian mengarahkan pelajar untuk menuliskan sinopsis bab 9 berdasarkan lakonan tadi dan mengarahkan pelajar untuk mencari dialog dan membuat soalan-soalan yang berkaitan dengan dialog yang dipilih. Kesemua aktiviti tadi dibuat secara berkumpulan.

Refleksi Kendiri.

Sepanjang sesi pengajaran berlangsung, pelajar saya mahu bekerjasama dalam menjayakan aktiviti yang dijalankan. Apa yang saya lihat, sesetengah pelajar saya mahu berlakon tetapi masih mempunyai perasaan kurang yakin dan malu. Manakala sesetangah pelajar yang lain berasa seronok apabila aktiviti berlakon dijalankan. Pelajar-pelajar dapat memberikan kerjasama dengan baik. Saya juga melihat bahawa, pelajar-pelajar dapat memamahi jalan cerita dengan lebih baik apabila aktiviti seperti lakonan dibuat. Hal ini adalah kerana mereka dapat membayangkan jalan ceritanya apabila mereka sendiri yang melakonkan babak tersebut. Saya berpendapat aktiviti seperti ini, dapat membantu pelajar untuk memahami jalan cerita dengan lebih jelas lagi. Walau bagaimanapun, saya dapati sesetengah pelajar kurang mahir menjawab soalan dialog terutama sekali soalan mengenai peristiwa sebelum dan selepas. Oleh itu, saya perlu membimbing mereka dan menunjukkan cara-cara menjawab soalan tersebut dengan lebih banyak lagi.