Sabtu, 28 Februari 2009

Catatan Log dan Refleksi Kendiri 3 pelajar 7P2 dan 4C.

Catatan Log.

Pada hari Selasa, 24 Februari 2009, saya telah mengajarkan Novel Pengabdian bab 1 bahagian 2 kepada pelajar menengah 4C. Aktiviti pertama yang dilakukan ialah mengarahkan pelajar untuk mencari nama-nama watak dalam teka silang kata dan aktiviti kedua ialah meneka dan membetulkan ejaan nama latar tempat dan latar masa. Pelajar telah dibahagikan kepada 2 kumpulan iaitu lelaki dan perempuan. Pelajar-pelajar saya memberikan respon dan kerjasama yang baik serta bergiat aktif dalam menjalankan aktiviti yang telah disediakan. Latihan dalam kelas yang saya berikan ialah seperti biasa menjawab soalan dialog.

Pada hari Rabu dan Khamis, 25 dan 26 Februari 2009, tahun 7P2 dan 4C telah menduduki ujian (topikal test) bagi bulan Februari. Tahun 7P2 menduduki ujian Tatabahasa dan 4C menduduki ujian Sajak, Novel Pengabdian dan Hikayat Awang Kamaruddin.

Pada hari Sabtu, 28 Februari 2009, saya memasuki kelas tahun 7P2 bagi mengajarkan fahaman (jawi). Pelajar-pelajar dapat membaca jawi dengan lancar apabila saya mengarahkan seorang demi seorang untuk membaca petikan teks, kecuali pelajar yang berbangsa Cina. Pelajar yang berbagsa Cina tidak dapat membaca kerana tidak mengenal huruf jawi dan tidak pernah belajar jawi sebelum ini.

Refleksi Kendiri

Setelah mengajar, saya mendapati pelajar-pelajar menengah 4C mampu menceritakan isi pelajaran yang lalu dan isi pelajaran yang sedang dipelajari. Mereka tahu isi dan jalan cerita Novel dan Hikayat apabila sesi soal jawab dijalankan. Manakala bagi mata pelajaran Sajak pula, sesetengah pelajar dapat memberikan tafsiran atau maksud mengikut kefahaman mereka dan sesetengah yang lain kurang mahir dalam memberikan maksud sajak. Walau bagaimanapun saya perlu mempelbagaikan aktiviti agar pelajar berasa seronok dan dapat mengikuti setiap apa yang telah disampaikan kepada mereka. Bagi Tahun 7P2 pula, masih terdapat sebilangan pelajar kurang mahir menggunakan bahasa baku atau standard dalam penulisan. Oleh yang demikian saya harus memperbaiki mutu pengajaran saya dan memberikan latihan lisan dan latihan bertulis serta membiasakan pelajar-pelajar bercakap dalam bahasa standard.

Jumaat, 27 Februari 2009

Catatan Log dan Refleksi Kendiri 4 Pelajar B

Catatan Log dan Refleksi Kendiri

 

Pada minggu ini (minggu ke 4), saya selaku guru pelatih mula menjalankan tugas saya seperti sediakala. Sebelum ini iaitu merujuk kepada minggu ke 3, saya terpaksa menunda pengajaran kerana pelajar-pelajar saya telah mengadakan latihan pembarisan sempena pembarisan Hari Kebangsaan. Dalam minggu ini saya hanya mengajar 2 kelas (4 period) sahaja iaitu 2 period (Kelas 4B) bagi mata pelajaran Kesusasteraan Melayu (25 Februari 2009 bersamaan dengan hari rabu), dan 2 period (Kelas 4Sci1) bagi mata pelajaran Bahasa Melayu (28 Februari 2009 bersamaan dengan hari sabtu). Hal ini memandangkan pada hari isnin, 23 Februari 2009 merupakan hari cuti awam sempena Hari Kebangsaan NDB yang ke 25 tahun. Dalam laporan kerja ini, saya hanya menjelaskan pengajaran dan pembelajaran dalam kelas 4B sahaja iaitu merujuk kepada mata pelajaran Kesusasteraan Melayu. Topik yang diajarkan adalah mengenai sinopsis dan plot cerpen Tanah. Sebagai pengetahuan sedia ada pelajar, guru menganggap pelajar sudah membaca keseluruhan teks. Dengan demikian, dalam induksi set, guru bertanya kepada pelajar apa yang mereka dapat fahami melalui jalan cerita dalam cerpen tersebut. Alhamdullilah pelajar dapat memahaminya dengan baik. Untuk meneguhkan jawapan setiap pelajar, guru memperdengarkan pelajar sinopsis cerpen Tanah melalui alat bantu yang berupa odio. Manakala, dalam pengajaran plot cerpen ini, pelajar-pelajar telah diberikan skrip           (2 babak) untuk dilakonkan. Dialog-dialog yang telah diambil merupakan dialog-dialog penting dalam cerpen. Tujuannya adalah agar pelajar dapat mengingati dialog-dialog penting dan memahami peristiwa-peristiwa penting dalam cerpen tersebut. Props yang digunakan hanyalah label nama bagi setiap watak yang dipegang oleh pelajar.     Sebagai peneguhan kefahaman pelajar terhadap lakonan tersebut, pelajar-pelajar telah diberikan satu manila kad yang telah dilakar dalam susunan yang kronologi.           Setiap pelajar diarahkan untuk membahagikan kepada dua kumpulan, dan setiap kumpulan akan menerima satu kad manila yang dilakar tersebut. Walaupun hasilnya memuaskan iaitu pelajar-pelajar dapat menulis jawapan dengan betul. Akan tetapi, saya masih tidak berpuas hati pada pembahagian tugasan pelajar-pelajar. Dalam kerja berkumpulan ini, sesetengah pelajar tidak menjalankan tugas mereka. Oleh itu, jika ada kerja berkumpulan lagi pada pengajaran yang akan datang, saya akan cuba untuk membahagikannya lagi kepada jumlah pelajar yang lebih kecil daripada sebelumnya, dalam setiap kumpulan. Ini bertujuan agar pelajar mempunyai tugas masing-masing dalam kumpulan, dan bukannnya sebagai pemerhati sahaja. Hal ini perlu diberi perhatian kepada setiap guru pelatih yang lain, agar pemberian markah dapat dijalankan dengan lebih adil.Terima kasih. 

Catatan Log dan Refleksi Kendiri 3 Pelajar D

Catatan Log

16 Febuari 2009- Pada hari ini saya telah mengajar kelas Tahun 7E. Pengajaran saya pada hari ini ialah mengenai fahaman dalam petikan jawi yang bertajuk Bendera Kebangsaan Negara Brunei Darussalam. Apa yang mengejutkan saya ialah majoriti pelajar-pelajar Tahun 7E kurang tahu dalam membaca petikan jawi. Namun begitu, strategi saya ialah membahagikan pelajar kepada beberapa kumpulan tidak lebih dari tiga orang dalam satu kumpulan. Tujuaan utama saya ialah agar pelajar yang dapat membaca jawi itu membantu pelajar yang kurang tahu membaca. Ada beberapa pelajar yang dapat membaca petikan jawi walaupun tidak begitu lancar. Saya mengarahkan pelajar-pelajar yang dapat membaca jawi tersebut. Pelajar yang lainnya pula akan mencatat isi-isi bagi setiap perenggan. Untuk latihan pula, soalan fahaman akan dibaca oleh guru bagi memudahkan pelajar yang lain.

17 Febuari 2009- Untuk hari ini, pengajaran saya berfokus kepada cerpen Tanah iaitu persoalan, tema dan pengajaran bagi kelas menengah atas 4A. Secara umumnya, pelajar dapat memberikan beberapa persoalan hasil dari penghayatan dan tafsiran mereka terhadap. Namun huraian terhadap persoalan yang mereka nyatakan itu belum cukup meyakinkan saya sebagai pemeriksa kerja latihan mereka. Sebagai contoh, pelajar memberikan persoalan mengenai penipuan, namun soalan yang saya ajukan kepada mereka agar mereka terus berfikir, betulkan keseluruhan cerpen ini membawa persoalan mengenai penipuan, jika ya, cuba huraikan dan beri contoh.

Begitu juga halnya denga tema, ada banyak tema yang pelajar nyatakan berdasarkan tafsiran mereka, namun saya menerima tema yang pelajar berikan sekiranya ada hujah serta contoh-contoh untuk menyokong tema tersebut.

Secara keseluruhan, pelajar dapat mengesan tema, persoalan serta pengajaran cerpen Tanah, namun begitu mereka perlu didedahkan lagi bagaimana untuk menguatkan lagi pendapat mereka.

19 Febuari 2009 (diganti pada 24 Febuari 2009, kerana pelajar-pelajar mengikuti latihan Hari Kebangsaan). – Pelajaran hari ini bagi tingkatan 4A ialah mengimbas dan menyambung semula pelajaran yang lalu iaitu cerpen Tanah iaitu berfokus kepada latar tempat, masa da masyarakat. Secara umumnya, majority pelajar dapat menyatakan latar tempat, masa dan masyarakat melalui tugasan yang telah diberikan kepada mereka.

21 Febuari 2009- Hari ini saya masuk ke kelas Tahun 7E untuk mengajarkan tatabahasa iaitu mengenai kata kerja. Untuk memulakan pengajaran saya, saya menerangkan jenis-jenis kata kerja, kemudian saya menunjukan beberapa contoh kata kerja dan menyuruh pelajar untuk memberitahu saya jenis golongan katanya. Melalui tugasan yang diberikan kepada mereka, majoriti pelajar 7E dapat memadankan kata kerja dengan ayat yang sesuai.

 

Refleksi Kendiri

Setelah tiga minggu berada di sekolah dan mengajar, saya  telah mengenali setiap pelajar saya. Begitu juga sebaliknya, pelajar juga mula mengenali saya. Perkara yang paling ditakuti oleh saya ialah, pelajar mengenali kelemahan saya dan mereka seolah-olah dapat ‘memakan’ saya atau ‘memijak’ saya. Namun begitu saya sebagai seorang guru perlu ada ketegasan terhadap pelajar saya. Latihan yang diberikan kepada mereka perlu diminta. Adakalanya pelajar terlupa, jadi saya member semula latihan tersebut. Sebagai seorang guru, ada kalanya berasa bersalah jika memberi pelajar yang tidak menghantar tugasan yang diberikan itu kosong, sebaliknya saya mahu mereka berusaha menjawab sehingga mereka menghantar kerja mereka. Begitu juga halnya dengan pelajar yang tidak bersekolah, saya tetap memberikan nota serta tugasan yang  mereka ketinggalan.

Isnin, 23 Februari 2009

Catatan Log dan Refleksi Kendiri 3 Pelajar B

Catatan Log dan Refleksi Kendiri

 

Pada minggu ke 3 di Sekolah Menengah PAP Hajah Rasidah di Lumut, saya belum dapat memberi pendapat terhadap peningkatan atau pembaikan pengajaran dan pembelajaran saya selaku pelatih di kelas saya. Hal ini disebabkan oleh gangguan latihan pelajar-pelajar saya dalam menjalani pembarisan sempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang ke 25 tahun pada 23 Februari 2009. Mereka telah menjalani latihan dari tarikh 14 Februari 2009 hingga 21 Februari 2009 iaitu selama seminggu berturut-turut. Kelas-kelas yang terlibat ialah pelajar-pelajar menengah atas 4 sahaja iaitu termasuk kelas saya sendiri 4Sc dan 4B, kecuali kelas 4D. Sepanjang tempoh seminggu ini, saya hanya diarahkan untuk menjaga dan mengawal (relief) kelas-kelas yang lain iaitu tahun 7 dan menengah bawah 3. Saya juga sempat mengawal dan mengajar satu kelas sastera iaitu menengah atas 5C secara team-teaching. Kami memberikan satu kertas edaran latihan kepada setiap pelajar.       Pelajar-pelajar telah diarahkan untuk membuat empat kumpulan. Kemudian, setiap kumpulan dikehendaki untuk membentangkan hasil perbincangan mereka di hadapan kelas. Hasil kerja mereka amat memberangsangkan kerana mereka berupaya untuk memahami dan mengingati apa yang telah mereka pelajari sebelum ini. Saya amat bersyukur kerana telah diberi peluang untuk mengawal dan mengajar kelas menengah atas 5 walaupun hanya sementara waktu. Sekurang-kurangnya saya dapat mengambil serba sedikit pengalaman mengajar pelajar yang bakal menduduki peperiksaan awam iaitu peperiksaan ‘O’ level. Selain itu juga, saya telah mengikuti pengajaran secara team-teaching di kelas tahun 7B dan kelas menengah atas 4D. Di sepanjang pengajaran ini, saya memperolehi pengalaman baharu mengajar secara berkumpulan. Pada pandangan saya, pengajaran seperti ini amat membantu pelajar memahami apa yang telah dipelajari secara terkawal. Selain itu juga, pengawalan kelas secara menyeluruh dapat membantu pelajar memberi konsentrasi yang lebih. Tambahan lagi, pengajaran seperti ini juga dapat membantu guru yang mengajar jika ada keperluan lain seperti pembahagian kertas atau nota edaran, melekat kad manila di papan putih, memasang alat-alat odio dan sebagainya. Secara menyeluruh, pengajaran seperti ini amat berkesan, menjimatkan masa, pengawalan yang bagus dan pelajar berdisiplin. Saya mengharapkan agar pengajaran seperti ini dapat diteruskan kerana menurut sesetengah pendapat mengatakan pengajaran seperti ini mendatangkan hasil yang lebih baik dari pengajaran secara individu. Insyallah.

Ahad, 22 Februari 2009

Catatan Log dan Refleksi Kendiri 2 Pelajar E

Catatan Log

Pada minggu ketiga ini iaitu bermula dari 16hb februari hingga 21 februari 2009, saya tidak melakukan sebarang latihan mengajar memandangkan kesemua pelajar saya yang berada dalam menengah atas empat (4A dan 4C) mengikuti latihan berbaris bagi sambutan hari kebangsaan yang bakal berlangsung. Saya akan memulakan latihan mengajar seperti sedia kala setelah berakhirnya sambutan hari kebangsaan.

Catatan Log dan Refleksi Kendiri 2, 4C dan 7P2.

Catatan Log

Pada hari Isnin, 16 Februari 2009, saya telah memasuki kelas 4C untuk mengajarkan Novel pengabdian (NP) bab 1 bahagian 1. Dalam sesi pengajaran saya, saya telah menyoal pelajar secara rambang mengenai pelajaran yang lalu iaitu mengenai watak-watak, latar tempat dan latar masa. Kemudian saya telah membahagikan pelajar kepada 2 kumpulan untuk mencari 4 peristiwa penting yang terdapat dalam bab 1 bahagian 1NP. Setelah itu saya mengarahkan pelajar untuk menulis jawapan mereka di atas papan putih dengan di bantu oleh rakan-rakan yang lain. Tujuan saya ialah untuk mengetahui sama ada pelajar tahu jalan cerita NP bab 1 bahagian 1 secara keseluruhan. Latihan yang saya berikan kepada pelajar ialah soalan dialog pada halaman 8.

Kemudian pada hari Selasa, 17 Februari 2009, saya juga memasuki kelas 4C untuk mengajarkan Sajak bertajuk Engkau Bagai Dalam Sangkar. Pada permulaan pengajaran, pelajar mendengarkan deklimasi sajak daripada pita rakaman. Setelah itu saya mengarahkan 3 orang pelajar tampil kehadapan untuk mendeklimasikan 1 rangkap sajak setiap seorang. Kemudian membahagikan pelajar kepad 3 kumpulan untuk mencari maksud sajak dan membentangkan jawapan mereka di hadapan kelas.

Pada hari Rabu, 18 Februari 2009, saya mengajarkan Surat Kiriman Tidak Rasmi kepada pelajar Tahun 7P2. Dalam sesi penngajaran saya menerangkan format surat kiriman tersebut satu persatu, setelah itu menyoal pelajar mengenai format Surat Kiriman Tidak Rasmi. Kemudian saya mengarahkan pelajar untuk menulis karangan jenis Surat Kiriman Tidak Rasmi sebagai latihan.

Pada hari Khamis 19 Februari 2009, saya telah mengajarkan Hikayat Awang Kamaruddin (HAK) bab 2 bagi kelas 4C. Saya telah menyoal pelajar mengenai watak-watak dan latar tempat yang terdapat dalam bab 2. Kemudian Saya telah membahagikan pelajar kepada 4 kumpulan untuk menjawab soalan dialog dan kemudian membentangkan jawapan mereka di hadapan kelas.

Pada hari Sabtu 21 Februari 2009, saya memasuki kelas 7P2 untuk mengajarkan Tatabahasa iaitu mengenai ayat biasa dan ayat songasang. Pada permulaan saya menerangkan kedua-dua jenis ayat tersebut kepada pelajar. Setelah itu menyoal pelajar seorang demi seorang untuk membina ayat biasa dan kemudian songsangkan ayat tersebut.


Refleksi Kendiri

Secara keseluruhan, saya mendapati beberapa orang pelajar kelas 4C lemah dalam menjawab soalan dialog dan kurang faham tentang soalan yang diberikan. Tetapi bagi mata pelajaran sajak pelajar dapat mengikuti dan memahami setiap yang disampaikan dalam pengajaran. Walau bagaimanapun saya telah berusaha untuk memahamkan pelajar cara-cara menjawab soalan dialog. Apa yang saya lakukan ialah saya telah memberikan contoh soalan dialog berserta jawapan sebagai rujukan mereka. Saya telah menerangkan kepada pe;ajar cara-cara menjawab soalan dialog dengan menggunakan ayat yang lengkap dan betul kepada pelajar. Manakala bagi pelajar 7P2 pula, masih terdapat segelintir pelajar kurang mahir membina ayat dengan betul. Jadi saya berpendapat, saya perlu banyak membuat aktiviti secara lisan dan tulisan agar pelajar terbiasa untuk bercakap baku dan menulis ayat dengan betul.

Sabtu, 21 Februari 2009

Catatan Log dan Refleksi Kendiri 3 Pelajar A

Catatan Log

Pada hari Selasa 17hb Februari 2009, saya seperti biasa telah memasuki kelas tahun 7B bagi mengajarkan pelajaran lisan iaitu pengumuman tentang penutupan bekalan air. Saya menyediakan alat bantu mengajar yang berupa laptop, speaker, kertas edaran kepada pelajar-pelajar saya. Tujuan utama saya untuk membawa laptop dan speaker adalah untuk memperdengarkan suara rakaman yang berbentuk lisan kepada mereka. Objektif pengajaran lisan ini adalah untuk mempratikkan pelajar untuk menuturkan bahasa Melayu yang baik dan lancar. Sepanjang pengajaran saya, semua pelajar aktif untuk mengambil bahagian. Mereka ingin untuk ke depan membacakan pengumuman tentang bekalan penutupan air dan secara keseluruhannya, pelajar-pelajar saya tidak malu-malu untuk mencuba membaca petikan pengumuman yang telah saya sediakan.

Manakala pada 19hb Februari 2009, saya telah mengajarkan tajuk pelajaran tatabahasa iaitu kata kerja, frasa kerja, kata kerja transitif dan kata kerja tak transitif. Saya menggunakan alat bantu mengarar seperti nota edaran. Pada mula pengajaran, saya bertanya kepada pelajar-pelajar tentang apa yang mereka tahu tentang definisi kata kerja dengan memberikan contoh-contoh yang mereka ketahui mengikut pengetahuan mereka. Saya mengarahkan seorang demi seorang untuk membina ayat yang mengandungi kata kerja. Sepanjang pengajaran saya, mereka dapat mengenal pasti dan dapat membina kata kerja. Namun apa yang menjadi permasalahan saya ialah sebilangan kecil pelajar saya masih lagi tidak menghantar kerja rumah yang saya berikan. Saya juga terpaksa menagih kerja rumah mereka seriap hari supaya mereka tidak lupa.

 

Refleksi Kendiri

Secara keseluruhannya, pelajar-pelajar saya masih lagi membuat kesalahan terutama dari segi ejaan. Namun saya akan perbaiki lagi dengan mengarahkan mereka untuk membina ayat di atas papan putih. Tujuannya ialah untuk menegur kesalahan mereka di depan rakan-rakan mereka supaya pelajar-pelajar yang lain akan dapat mempelajari kesalahan yang telah dibina oleh kawan mereka. Saya juga ingin memperbanyak aktiviti supaya dapat merangsang pemikiran mereka ke arah keceriaan di samping dapat memupuk minat mereka untuk belajar lagi.

Isnin, 16 Februari 2009

Catatan Log dan Refleksi Kendiri 2 Pelajar D

Catatan Log

Pada 9 Febuari 2009, saya telah masuk ke kelas tahun 7E. Pengajaran saya pada hari ini ialah membuat rumusan sebuah carta pai. Objektif saya ialah agar pelajar dapat melihat maklumat yang tersurat dan tersirat di sebalik sebuah carta pai. Majoriti pelajar 7E dapat melihat maklumat tersirat dan tersurat tersebut. Seterusnya pelajar di arahkan untuk menyusun maklumat-maklumat tersebut dalam sebuah rumusan tidak lebih dari tujuh puluh patah perkataan.

10 Febuari pula ialah pengajaran Kesusasteraan Melayu bagi tingkatan 4A. Objektif saya ialah bagaimana mencari sebuah tema dalam sesuatu sajak, iaitu bermula dari mencari maksud setiap rangkap dan kemudiannya mencari persoalan bagi setiap maksud yang telah dicari. Seterusnya setiap persoalan itu digabungkan untuk dikaji temanya.

12 Febuari saya telah masuk ke kelas tingkata 4A untuk menyentuh dan mengimbas sedikit pelajaran yang lalu dan seterusnya saya masuk kepada gaya bahasa sajak tersebut. Sebelum itu saya menerangkan jenis-jenis gaya bahasa yang digunakan di dalam antologi sajak Cermin Diri, dan beberapa lagi jenis gaya bahasa yang lainnya. Pelajar diarahkan untuk mencari gaya bahasa dalam sajak Pak Tua, di samping bimbingan dari saya pada peringkat permulaan ini.

14 Febuari saya telah masuk ke kelas tahun 7E untuk mengajarkan Bahasa Melayu. Hari ini saya fokuskan kepada lisan dan penulisan. Susunan meja dalam kelas dibentuk dalam bentuk ‘U’, kemudiannya pelajar yang dipilih akan duduk di depan untuk membaca dengan lantang, pelajar yang lainnya akan mengikutnya membaca secara mekanis. Tujuaan saya ialah untuk melatih pelajar agar dapat membaca dengan betul dari segi nada dan intonasinya. Seterusnya setelah membaca setiap perenggan, saya akan menyoal pelajar-pelajar untuk mengetahui setakat mana mereka jelas dengan apa yang telah mereka baca.

Di samping masuk kelas untuk mengajar, saya juga ditugaskan untuk menjaga kelas yang tidak ada guru (relief). Ada juga saya di berikan tugas untuk mengajar kelas yang saya jaga.

 

Refleksi Kendiri

Setiap hari dan setiap minggu yang mendatang, saya merasakan lebih banyak cabaran dan dugaan. Sebagai contoh, semasa saya masuk kelas tahun 7E, ada pelajar yang hampir berkelahi, namun dengan ketegasan dan kuasa yang diberikan kepada saya sebagai seorang guru, saya dapat menghalangnya daripada berlaku. Seperti yang saya jelaskan minggu lepas, peranan psikologi di dalam kelas dalam mengendalikan pelajar yang nakal amatlah penting.

Cabar utama bagi saya ialah untuk membuatkan pelajar jelas dengan apa yang saya ajarkan, setakat ini pelajar tahun 7E tidak ada masalah Cuma lambat menghantar kerja. Manakala bagi pelajar tingkatan 4A, mereka merupakan pelajar yang baru didedahkan dengan Kesusasteraan Melayu, dan saya faham pada peringkat permulaan ini, mereka perlu dibimbing secara perlahan dan berperingkat-peringkat.

Ahad, 15 Februari 2009

Catatan Log dan Refleksi Kendiri 1 Pelajar E

Catatan Log

Pada minggu kali kedua ini, saya telah memulakan tugasan latihan mengajar pada hari isnin yang lalu itu pada 9 februari 2009. Selama satu minggu ini, saya telah mengajar kedua-dua mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu dan juga Kesusasteraan Melayu bagi menengah 4. Saya telah banyak menggunakan aktiviti secara individu dan juga berkumpulan di dalam sesebuah kelas. Kertas edaran sebagai kerja rumah juga telah saya berikan kepada mereka bagi menguji dan menambah pengetahuan mereka dalam sesebuah tajuk mata pelajaran yang telah saya sampaikan.

 

Refleksi  Kendiri

Saya telah mengajar penuntut dalam menengah atas 4A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Saya lebih berpusat kepada pelajar dengan mengadakan variasi-variasi aktiviti yang banyak melibatkan kegiatan mereka. Aktiviti yang melibatkan lisan juga turut saya gunakan bagi mengenalpasti kelancaran bacaan pelajar. Saya telah memilih seorang bangsa bukan Melayu untuk membaca sebuah petikan teks yang telah saya sediakan. Dalam pemeriksaan ini, cuma beberapa patah perkataan sahaja pelajar tersebut tidak menyebut dengan baik, manakala yang lain disebutnya dengan baik. Aktiviti berkumpulan juga turut saya adakan. Dengan aktiviti seperti ini, para pelajar dalam setiap kumpulan menunjukkan kerjasama dan berkomunikasi dengan baik. Para pelajar dalam menengah 4A ini ada melihatkan sikap yang aktif dalam mengikuti kesemua aktiviti yang saya adakan. Aktiviti yang saya jalankan di dalam kelas ini berlalu dengan baik dan lancar. Perbentangan bagi setiap kumpulan juga saya adakan dengan mewakili seorang pelajar dalam setiap kumpulan. Dari pemerhatian saya, ada pelajar yang belum lagi terbiasa dengan membentangkan jawapan mereka di hadapan kesemua penuntut di dalam kelas ini. Oleh itu, saya akan memperbanyak lagi aktiviti seperti perbentangan di hadapan kelas bagi menambahkan lagi keyakinan mereka berdiri di hadapan khalayak ramai kelak. Bagi menambahkan lagi pengetahuan mereka, saya telah memberi tugasan sebagai kerja rumah kepada mereka. Pada akhir pengajaran, kesemua penuntut menengah 4A dapat sudah menyatakan maksud isi pelajaran yang telah saya sampaikan kepada mereka.

Catatan Log dan Refleksi Kendiri 1 pelajar 7P2

Catatan Log.

Pada hari Sabtu iaitu, 14 Februari 2009, saya memulakan pengajaran setelah memerhatikan guru mengajar di sekolah. Saya telah mengajarkan mata pelajaran Bahasa Melayu kepada Tahun 7P2. Seramai 25 orang pelajar terdiri daripada lelaki dan perempuan mempelajari karangan jenis dialog / perbualan. Saya mennggunakan pita rakaman untuk mendengarkan dialog / perbualan kepada pelajar. Tujuan saya ialah agar pelajar tahu maksud dialog / perbualan. Kemudian saya menerangkan format bagaimana membuat karangan jenis dialog / perbualan daripada pendahuluan, isi dan penutup. Saya mengunakan peta minda agar pelajar dapat mengikuti pembelajaran pada hari itu. Pada kebiasaannya peta minda itu akan dimulakan dengan pendahuluan terlebih dahulu, kemudian isi dan akhir sekali penutup. Saya menyoal beberapa orang pelajar untuk menguji kefahaman pelajar mengenai format karangan dialog / perbualan. Hanya segelintir pelajar memberikan respon yang baik dan bergiat aktif menjawab soalan dan menyumbangkan idea dalam membuat rangka karangan jenis dialog / perbualan.

Refleksi Kendiri

Setelah menjalankan pengajaran pada hari Sabtu lepas, saya memerhatikan masih ada segelintir pelajar yang tidak berminat untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap pembelajaran mereka. Terutama sekali pelajar berbangsa Cina, mereka hanya mendiamkan diri di sepanjang pembelajaran. Dalam hal ini, saya perlu memperbaiki cara pengajaran saya agar dapat merubah minat mereka atau agar mereka mengikuti mata pelajaran yang saya ajarkan. Semasa sesi pengajaran, segelintir pelajar lelaki suka bercakap sewaktu sesi penerangan berlangsung. Saya berpendapat bahawa saya perlu lebih tegas agar mereka dapat menumpukan sepenuh perhatian ketika saya mengajar. Walau bagaimanapun, saya akan mencuba sedaya upaya saya agar pelajar dapat mengikuti pengajaran dengan tenang dan apa yang lebih penting ialah pelajar tahu dan faham apa yang saya sampaikan kepada mereka.

Sabtu, 14 Februari 2009

Catatan Log dan Refleksi Kendiri 2 Pelajar B

Catatan Log dan Refleksi Kendiri

 

Pada minggu kedua di Sekolah Menengah PAP Hajah Rashidah Lumut, saya telah memulakan latihan mengajar di kelas 4Sci dan kelas 4B. Saya hanya mengambil satu contoh kelas sahaja sebagai catatan log harian iaitu kelas 4B (bagi mata pelajaran Kesusasteraan Melayu). Sebagai contoh, misalnya pada hari isnin lepas iaitu 9 Februari 2009 (period 3 dan 4) dan 11 Februari 2009 (period 8 dan 9), saya telah mengajar Sajak Pak Tua (yang dipetik dari Antologi Sajak Cermin Diri). Pada hari isnin dan Rabu (sambungan dari hari isnin) berkenaan, saya telah mengarahkan mereka untuk mendengar deklamasi sajak Pak Tua (yang telah dirakam oleh saya sendiri), kemudian mereka akan mendeklamasinya sendiri sebagai latihan. Dari pemerhatian saya, pelajar-pelajar dapat mendeklamasinya dengan baik walaupun mereka baharu terdedah dengan mata pelajaran sastera. Hal ini mungkin dapat ditingkatkan lagi dengan adanya pendedahan video yang berkaitan dengan sajak tersebut selain daripada gambar (Alat Bantu Mengajar) yang telah digunakan. Walau bagaimanapun, pelajar belum dapat menguasai pemerian tema dan persoalan dengan baik. Hal ini berkemungkinan kerana tajuk berkenaan terlalu abstrak untuk dipelajari. Sungguhpun begitu, saya akan mencuba yang terbaik agar pelajar dapat mentafsir dan memahami perkara yang telah dipelajari melalui penjelasan yang lengkap dan mudah untuk difahami. Begitu juga dengan pelajaran ‘gaya bahasa’, dari tanggapan saya, pelajar-pelajar belum dapat menguasainya lagi dengan baik, walaupun mereka dapat mencapai markah yang bagus dalam kerja kelas. Ini kerana mereka perlu diberikan latihan yang mencukupi agar mereka dapat mengaplikasinya dalam sajak yang lain. Dengan demikian pelajar perlu diberi tugasan yang lebih agar mereka dapat memahami, menanggapi, dan mengingati apa yang telah mereka pelajari disusuli oleh penggunaan Alat Bantu Mengajar dan Alat Bantu Mengajar yang berkesan.