Isnin, 19 Januari 2009

PETUA LM 4: Gunakan peralatan yang sesuai

Ketika berbincang atau memberi penerangan, gunakan peralatan yang sesuai secara berkesan. Dedahkan pelajar dengan teknologi pendidikan yang canggih seperti Projektor Powerpoint. Penggunaannya akan memudahkan perbincangan dan penerangan. Pastikan awda menggunakan alat penunjuk yang sesuai dan tidak menghadang pandangan pelajar. Posisi badan juga perlu diperhatikan. Pastikan awda sentiasa menghadap pelajar ketika berbincang walaupun terpaksa menggunakan tangan kiri ketika awda berdiri di sebelah kiri papan/layar putih. Selain itu, pastikan jenis dan saiz abjad yang digunakan mudah dibaca mampu dilihat oleh pelajar yang duduk paling belakang. Penggunaan warna yang sesuai dan menarik serta rajah, carta dan gambar akan menimbulkan keseronakan belajar. 

PETUA LM 3: Laksanakan aktiviti pembentangan

Salah satu aktiviti pengajaran berpusatkan pelajar ialah pembentangan. Pelajar perlu dilatih untuk berani tampil ke depan bilik darjah dan menghadapi kawan-kawan ketika membentangkan hasil kerjanya. Aktiviti ini bukan sahaja melatih pelajar meningkatkan kemahiran bertutur, malahan mampu meningkatkan keyakinan untuk berkomunikasi menggunakan bahasa Melayu baku. Sebagai langkah permulaan, pembentangan secara berkumpulan boleh dilaksanakan. Setelah pelajar semakin biasa dengan aktiviti ini, pembentangan secara berpasangan boleh dicuba dan akhirnya pembentangan individu. Di peringkat awal, guru boleh berdiri berdekatan pelajar yang membentang agar pelajar berkenaan berasa diberi perhatian dan mendapat sokongan moral. Setelah pelajar lebih berkeyakinan, guru boleh berdiri lebih jauh atau duduk sebagai pendengar. Jangan lupa untuk memberikan pujian yang berpatutan setelah selesai pembentangan. Di peringkat awal, tumpukan perhatian terhadap kekuatan pelajar. setelah aktiviti ini terlazim, barulah guru berusaha memperbaiki kelemahan pelajar.

PETUA LM 2: Pamerkan hasil kerja pelajar

Sementara menunggu pelajar-pelajar lain menyiapkan kerja mereka, hasil kerja pelajar yang sudah siap bolehlah dipamerkan di tempat yang sesuai seperti papan putih, bahagian belakang bilik darjah atau di sudut bacaan. Hasil kerja yang dipamerkan akan menimbulkan rasa bangga dan semangat belajar bagi pelajar yang empunya kerja manakala pelajar-pelajar lain akan lebih bermotivasi untuk menyelesaikan kerja mereka. Ganjaran positif seperti pujian patut diberikan kepada pelajar yang berjaya menyiapkan tugasan manakala rangsangan yang berterusan diberikan kepada pelajar lain sambil terus menjalankan pemantauan yang berkesan.  

PETUA LM 1: Pemantauan Kerja Berkumpulan

Ketika melaksanakan kerja berkumpulan, guru hendaklah menjalankan tugas pemantauan dengan baik. Pastikan semua ahli kumpulan terlibat dan memainkan peranan masing-masing. Guru boleh menjadi ahli sementara bagi kumpulan yang agak lemah atau kelihatan tiada kemajuan. Setelah kumpulan tersebut mampu digerakkan dan bermotivasi untuk bekerja, barulah guru beralih kepada kumpulan lain. Aktiviti berkumpulan akan berfungsi hanya jika setiap ahli kumpulan diberikan peranan yang aktif. Pastikan mereka memahami tugas dan objektif kerja berkumpulan.

Ahad, 18 Januari 2009

TUGASAN 
PELAJAR LATIHAN MENGAJAR

Awda diminta untuk menyediakan perkara berikut:

1. Profil (sekali sahaja)
2. Kata hikmat tentang pendidikan (sekali sahaja)
3. Log Harian atau diari (setiap kali mengajar) - WAJIB
4. Penilaian kendiri (setiap kali mengajar) - WAJIB
5. Kemusykilan (jika ada)
6. Catatan pengalaman lain (jika ada)
7. Gambar bersama catatan ringkas (jika ada)
8. Respons untuk kawan (jika ada)



Profil
Awda diminta untuk menyediakan catatan profil tentang diri awda sendiri. Isi catatan tersebut terpulang kepada diri awda sendiri. Namun begitu, catatan tentang bidang atau pengkhususan yang awda ikuti di UBD mungkin berguna kepada pembaca. Selain itu, awda boleh mengongsikan tentang cita-cita, prinsip hidup dan seumpamanya.

Kata Hikmat
Awda diminta untuk mencipta kata-kata hikmat tentang pendidikan. Ia mungkin berupa suatu pandangan tentang kepentingan pendidikan, hala tuju pendidikan, kemuliaan kerjaya guru dan sebagainya. Kata-kata hikmat tidak perlu panjang. Kata-kata hikmat lebih baik jika ringkas tetapi padat dan bermakna.

Log Harian
Catatan ini diperlukan setiap kali awda baru selesai mengajar di bilik darjah pilihan awda. Awda hanya perlu memilih sebuah kelas bahasa atau sastera. Pastikan awda hanya menggunakan nama samaran baik bagi diri awda sendiri mahupun orang atau pelajar yang awda ceritakan. Namun nama-nama samaran itu hendaklah dihafal atau ada tersimpan dalam catatan awda bagi memudahkan awda membuat rujukan kelak. Butiran bilik darjah sebenar boleh disebut tetapi nama sekolah kenalah dirahsiakan. Jika awda ingin, awda boleh menggunakan nama sebenar awda. Log harian yang baik akan terhasil jika awda menulisnya dalam keadaan yang tenang dan menggunakan mod penceritaan. Inilah masanya awda menggunakan bakat ercerita yang terpendam.

Penilaian Kendiri
Catatan ini juga diperlukan setiap kali awda baru selesai mengajar. kali ini awda memfokuskan perbincangan tentang kekuatan dan kelemahan yang baru saja berlaku ketika awda mengajar. Secara refleksi, cubalah awda nasihati diri sendiri dan rancang suatu tindakan yang mampu memperbaiki kelamahan yang awda lakukan. 

Kemusykilan
Kemusykilan mempunyai pengertian yang sangat luas. Melalui catatan ini awda berpeluang meluahkan kekecewaan, kekesalan, kesulitan, kesusahan, kesukaran dan seumpamanya tentang apa saja. Gunakan kesempatan ini untuk meluahkan segala yang terbuku di hati. Mungkin kawan kamu ingin memberikan respons atau mencadangkan suatu tindakan yang berguna.

Catatan Pengalaman Lain 
Jika ada, awda boleh mencatatkan apa saja pengalaman yang ingin dikongsikan. Pengalaman ini tidak berkenaan dengan tugas mengajar secara langsung, antaranya pengalaman hari pertama datang ke sekolah, hubungan awda dengan guru-guru di sekolah, penglibatan awda dalam aktiviti sekolah, majlis atau acara di sekolah dan seumpamanya.

Gambar Bersama Catatan
Jika ada, awda boleh menyumbangkan gambar-gambar yang bersesuaian. Gambar yang jelas menunjukkan wajah seseorang perlu mendapatkan keizinan terlebih dahulu. Berikan catatan ringkas yang berkenaan dengan gambar tersebut.

Respons Untuk Kawan
Jika ada, awda boleh memberikan respons terhadap apa saja catatan yang dibuat oleh kawan kamu. Respons tersebut boleh berupa kongsi cerita yang sama, nasihat, cadangan tindakan dan seumpamanya.