Rabu, 6 Mei 2009

CATATAN LOG DAN REFLEKSI KENDIRI MINGGU KE 7 PELAJAR 8 SAINS 1

CATATAN LOG DAN REFLEKSI KENDIRI MINGGU KE-7 PELAJAR 8 SC 1

31 MAC &1HB APRIL: Catatan log dan refleksi kendiri pada penggal kedua kali ini, saya menumpukan perhatian kepada kelas 8 SC 1. Pada minggu ini saya menagajarkan tatabahasa iaitu binaan dan susunan ayat (subjek dan predikat, pola ayat dasar, susunan ayat biasa dan ayat songsang), dan Kata Tugas (Kata Arah, Kata Perintah, Kata Seru, Kata nafi dan Kata Pemeri). Sewaktu mengajarkan binaan dan susunan ayat, guru menerangkan kepada pelajar subjek dan predikat beserta contoh, kemudian diterangkan lagi empat pola ayat dasar beserta contoh, dan seterusnya guru menerangkan ayat biasa dan ayat songsang beserta contoh melalui lcd projektor. Untuk memastikan kefahaman pelajar terhadap pelajaran yang telah disampaikan, guru memberi tugasan mengisi tempat kosong dengan ayat-ayat yang sesuai mengikut frasa yang telah diarahkan dan menyatakan ayat-ayat mengikut frasa yang betul. Pada 1hb April, saya mengajarkan Kata Tugas. Tujuan saya mengajarkan Kata Tugas kepada pelajar supaya pelajar dapat menggunakan Kata Tugas dengan tepat mengikut fungsinya. Dalam induksi set, guru mengarahkan beberapa orang pelajar menutup pintu sebagai contoh yang paling mudah untuk memberi rangsangan kepada pelajar. Kemudian pelajar diterangkan terhadap arahan yang telah diberikan oleh guru sebentar tadi. Sebagai peneguhan dan penilaian, guru memberikan tugasan mengisi tempat kosong dan membina ayat mengikut Kata tugas yang diberikan.

PENILAIAN KENDIRI

Pada minggu ke-7 ini, saya amat berpuas hati terhadap pengajaran yang disampaikan kepada 8 Sc 1, hal ini kerana pelajar yang berada di dalam kelas ini mudah memahami pelajaran yang disampaikan dan kesemua mereka ini adalah pelajar yang memperolehi keputusan yang cemerlang sewaktu menduduki peperiksaan PSR. Justeru hal ini memudahkan guru menerangkan serta menyampaikan isi pelajaran kepada mereka. Ditambah lagi, hasil kerja yang diberikan amat memuaskan seperti tugasan kerja kelas dan kerja rumah dihantar mengikut tarikh yang ditetapkan oleh guru.

CATATAN LOG DAN REFLEKSI KENDIRI MINGGU KE-8 PELAJAR 8 SC 1

7&8HB APRIL 2009: Pada minggu ke - 8 ini, guru mengajarkan Perambahan Brunei dan perihal ayat iaitu ayat Kata Tugas ( ayat arah, ayat perintah, ayat seru, ayat nafi dan ayat pemeri). Sebagai rangsangan kepada pelajar sewaktu mengajarkan Perambahan Brunei, guru bertanya kepada pelajar tentang Perambahan Brunei yang pelajar masih ingat sewaktu di menengah 1. Kemudian guru menerangkan beberapa Perambahan Brunei kepada pelajar beserta contoh melalui lcd projektor. Di samping itu, guru mengaitkan isi pelajaran dengan kehidupan yang berlaku dalam masyarakat berdasarkan Perambahan Brunei yang diterangkan oleh guru. sebagai pengukuhan guru memberikan soalan latihan iaitu mengisi tempat kosong dan membina ayat. Pada hari Rabu, guru mengajarkan perihal ayat kepada pelajar. Sewaktu mengajarkan perihal ayat Kata Tugas kepada pelajar, guru mengadakan aktiviti berkumpulan. Setiap kumpulan diarahkan oleh guru untuk membina ayat dengan menggunakan 5 Kata Tugas. Kemudian setiap kumpulan melantik ketua dan wakil kumpulan menulisnya di papan putih. Pelajar dibahagikan kepada 5 kumpulan.

PENILAIAN KENDIRI

Pada minggu ini, pelajar memberikan kerjasama sewaktu guru mengadakan aktiviti berkumpulan. Walau bagaimana pun, terdapat beberapa orang pelajar tidak aktif sewaktu guru bertanya tentang beberapa soalan terutama pelajar perempuan. Hal ini memang sudah diperhatikan oleh guru sewaktu mengambil alih kelas 8 SC 1. Namun hal ini dapat diatasi sewaktu guru mengadakan aktiviti berkumpulan. Pelajar memberikan kerjasama dengan ahli kumpulan.

CATATAN LOG DAN REFLEKSI KENDIRI MINGGU KE-9 PELAJAR 8 SC 1

14&15HB April 2009: Pada minggu ini, saya mengajarkan meringkaskan karangan dan merumus. Sewaktu mengajarkan meringkaskan karangan teks syarahan, guru menerangkan secara ringkas panduan meringkaskan karangan kepada pelajar melalui lcd projektor. Pelajar diarahkan membaca dan memahami teks syarahan terlebih dahulu sebelum membuat ringkasan. Guru mengadakan aktiviti perbincangan bersama pelajar terhadap teks syarahan yang diberikan. Kemudian pelajar memberikan maklumat yang terdapat di dalam teks syarahan hasil perbincangan bersama ahli kumpulan. Pada 15hb April, saya mengajarkan merumus mengenai gambar rajah punca-punca berlakunya kebakaran. Saya mengadakan aktiviti berkumpulan sewaktu mengajarkan merumus gambar rajah supaya pelajar dapat berkongsi maklumat dan memberikan isi-isi rumusan yang berkaitan dengan gambar rajah. Setelah itu, setiap kumpulan memberikan salah satu punca-punca yang menyebabkan berlakunya kebakaran. Sebagai peneguhan, pelajar diberikan tugasan membuat rumusan berdasarkan isi-isi yang dibincangkan bersama ahli kumpulan.

PENILAIAN KENDIRI

Selama 9 minggu bersama pelajar 8 SC 1, saya bertambah yakin dan dapat memperbaiki kelemahan sewaktu mengajar di dalam kelas. Saya sudah mempunyai keyakinan mengawal kelas dengan baik dan pelajar juga memberikan kerjasama sewaktu guru mengarahkan membentuk kumpulan ketika mengadakan aktiviti berkumpulan. Memang tidak dinafikan bahawa tugas sebagai guru banyak cabaran dan dugaan terutama melayan karenah pelajar yang mempunyai berbagai latar belakang. Malah saya amat kagum dengan kemampuan salah seorang pelajar yang bukan penutur bahasa Melayu dapat bertutur dan menulis dalam bahasa Melayu dengan baik.

CATATAN LOG DAN REFLEKSI KENDIRI MINGGU KE-10 PELAJAR 8 SC 1

21&22HB APRIL 2009: Pada minggu ini, saya mengajarkan teks klasik kepada pelajar. sebagai bahan teks klasik, saya menggunakan Hikayat Panji Semirang sebagai bahan bacaan dan nota edaran kepada pelajar. Sewaktu mengajarkan teks klasik ini kepada pelajar, guru memberikan penerangan serta mengadakan perbincangan bersama pelajar tentang jalan cerita teks tersebut. Pada mulanya pelajar tidak memahami isi teks tersebut, namun setelah guru menyenaraikan watak-watak serta menceritakan lebih terperinci teks tersebut kepada pelajar, baharulah pelajar memahami teks yang diberikan. Guru mengadakan aktiviti berkumpulan untuk memberikan makna perkataan klasik yang dicondongkan di dalam teks. Pada hari Rabu , 22hb April saya mengadakan ujian topikal 1 penggal kedua kepada pelajar. Soalan yang diberikan kepada pelajar ialah tatabahasa dan Perambahan Brunei iaitu pelajaran pada minggu ke -7 dan ke- 8.

PENILAIAN KENDIRI

Mengajarkan teks klasik kepada tahun 8 adalah sesuatu yang mencabar kerana pelajar tidak terdedah kepada karya sastera sebelumnya. Mereka tidak memahami teks tersebut kerana bahasa yang digunakan adalah bahasa klasik dan sukar bagi pelajar memahami jalan cerita tersebut. Namun setelah guru memberikan penerangan yang terperinci baharulah pelajar dapat memberikan rangsangan terutama beberapa perkataan klasik yang dicondongkan. Untuk memahami teks klasik ini memerlukan pemahaman yang dalam terutama bahasa klasik. Justeru, pelajar hendaklah didedahkan teks klasik sejak dari sekolah rendah lagi agar mereka menguasai kosa kata klasik. Manakala perperiksaan yang telah dijalankan, secara keseluruhannya markah pelajar kelas ini amat memuaskan dan tidak terdapat pelajar yang gagal dalam ujian tersebut.

CATATAN LOG DAN REFLEKSI KENDIRI MINGGU KE-11 PELAJAR 8 SC 1

28&29HB APRIL 2009: Hari Selasa, saya mengajarkan Kata Hubung kepada pelajar. Sebagai induksi set, guru menggunakan teknik bercerita kepada pelajar dengan menggunakan Kata Hubung yang mudah dan sesuai sebagai rangsangan sebelum memulakan pengajaran. Kemudian pelajar ditanya oleh guru tentang kata yang digunakan oleh guru untuk mengabungkan ayat sewaktu becerita. Sebagai peneguhan, guru mengadakan aktiviti berkumpulan iaitu setiap kumpulan diarahkan membina ayat dengan Kata Hubung yang sesuai dan hasil perbincangan setiap kumpulan ditulis di papan putih. Pelajar juga diberikan tugasan mengisi tempat kosong dengan Kata Hubung yang sesuai di dalam buku latihan pelajar. Hari Rabu 29 hb April, saya mengajarkan lisan kepada pelajar iaitu Pantun. Sebagai induksi set, guru mendengarkan sebuah lagu yang bertajuk Joget Berbalas Pantun yang dinyanyikan oleh kumpulan Senario. Pelajar diarahkan oleh guru untuk menghayati lirik lagu tersebut dan kemudian bertanya lirik lagu tersebut. Lagu tersebut diselitkan dengan beberapa rangkap pantun jenaka yang berkaitan dengan tajuk yang disampaikan oleh guru. setelah itu menerangkan jenis-jenis pantun kepada pelajar.

PENILAIAN KENDIRI

Sewaktu mengajarkan pantun kepada pelajar, guru mengalami masalah iaitu lcd projektor tidak dapat ditayangkan atas sebab teknikal. Hal ini menyukarkan guru menayangkan jenis-jenis pantun beserta contoh. Namun untuk mengatasi masalah tersebut, guru menulis jenis-jenis pantun di papan putih. Disebabkan masalah ini, guru tidak dapat mengadakan aktiviti berkumpulan iaitu setiap kumpulan diarahkan membuat pantun serta mendklamasikan pantun.

CATATAN LOG DAN REFLEKSI KENDIRI MINGGU KE-12 PELAJAR 8 SC 1

5&6HB MEI 2009: Pada minggu ini guru mengadakan ujian topikal 2 penggal ke-2 kepada pelajar. soalan yang diberikan adalah mengenai soalan fahaman teks klasik dan teks cerpen dan juga surat kiriman rasmi iaitu membuat pesanan. 6hb Mei, saya mengajarkan Peribahasa jenis pepatah kepada 8 sains 1. Aktiviti yang diadakan ialah membuat kad secara berkumpulan. Pelajar dibahagikan kepada 6 kumpulan. Setiap kumpulan dikehendaki menghasilkan sama ada kad jenis kalendar, penanda buku, tabong duit atau bingkai gambar yang mengandungi pepatah yang diajar oleh guru. kad yang dihasilkan akan didemonstrasikan sendiri oleh wakil kumpulan. Tugasan untuk menghasilkan kad ini memerlukan kreativiti para pelajar agar kad yang dihasilkan lebih menarik dan kreatif.

PENILAIAN KENDIRI

Setelah memberikan pelajar ujian topikal 2, guru mengharapkan agar pelajar mendapat markah yang baik serta pelajar dapat meningkatkan pencapaian mereka. Hal ini dapat dibuktikan pada ujian topikal 1 penggal 2 yang lalu iaitu kesemua pelajar 8 sains 1 mencapai keputusan yang amat memuaskan. Oleh itu, pada peperiksaan kali kedua ini saya berharap keputusan pelajar akan bertambah baik dan pelajar dapat mengekalkan prestasi mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan