Jumaat, 3 April 2009

Catatan Log dan Refleksi Kendiri 9 Pelajar B

Catatan Log dan Refleksi Diri
Pada minggu ini merupakan minggu pertama selepas cuti penggal pertama persekolahan. Saya sebagai guru pelatih memulakan pengajaran saya seperti biasa pada minggu ini. Misalnya saya telah mula mengajar pada hari isnin lepas (30 Mac 2009) iaitu bagi mata pelajaran Kesusasteraan Melayu (period 3 dan 4), dan Bahasa Melayu (period 7 dan 8), pada hari rabu lepas bersamaan dengan 1 April 2009 bagi mata pelajaran Kesusasteraan Melayu (period 8 dan 9), dan pada esok hari (sabtu) iaitu 4 April 2009 bagi mata pelajaran Bahasa Melayu (period 1 dan 2). Saya hanya mencatat pengajaran dan pembelajaran Kesusasteraan Melayu sahaja dalam laporan ini. Sebagai contoh, pada minggu ini, saya lebih memfokuskan pada sajak Kau dan Aku. Pada hari isnin lepas, saya telah menyentuh tentang maksud, tema dan persoalan. Saya telah menggunakan beberapa gambar yang berkaitan dengan sajak sebagai induksi set dan alat bantu saya. Cara saya mengajar maksud kepada pelajar-pelajar ialah dengan menganalisis dari rangkap ke rangkap. Selain daripada itu juga, pendedahan kepada contoh-contoh dalam kehidupan sebenar dapat membantu pelajar-pelajar saya memahami sajak berkenaan. Saya telah berusaha sedaya upaya untuk membuat mereka berfikir dan cuba mengaplikasikannya dengan dunia realiti. Walaubagaimanapun, masa saya telah banyak terbuang dalam menyampaikan maksud ini, dan mungkin pelajar-pelajar saya kurang memahami cara untuk mencari tema dan persoalannya kerana faktor masa yang agak singkat. Dengan demikian, pada masa akan datang, saya akan berusaha untuk membahagikan masa dengan lebih tepat lagi, dan mengurangkan langkah-langkah pengajaran dalam persediaan mengajar saya. Manakala, pada hari rabu lepas, alhamdulillah cara pengajaran saya dapat mencapai objektifnya kerana pelajar-pelajar dapat memahami cara menganalisis bentuk sajak Kau dan Aku, serta cara untuk memprosanya dari rangkap ke rangkap dengan baik. Hal ini dapat saya lihat melalui soalan-soalan kuiz yang telah saya buat di akhir pengajaran saya. Soalan-soalan kuiz yang dibuat secara rambang kepada pelajar-pelajar dan bentuk soalan yang merangkumi keseluruhan sajak dapat membantu pelajar untuk mengimbas kembali hal yang telah mereka pelajari sebelum ini. Insyallah saya akan berusaha untuk memperbanyakkan lagi soalan-soalan berbentuk kuiz ini agar saya dapat mengetahui kefahaman mereka terhadap apa yang telah dipelajari.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan