Ahad, 19 April 2009

Catatan Log dan Refleksi Kendiri 10 Pelajar B

Catatan Harian dan Refleksi Diri
Dalam minggu ini, saya mengajar seperti biasa. Akan tetapi saya telah mengubah serba sedikit kaedah pengajaran dan pembelajaran saya iaitu misalnya bagi mata pelajaran Bahasa Melayu. Dalam laporan ini, saya hanya menjelaskan mengenai mata pelajaran Bahasa Melayu (Menengah Atas4Sci1) sahaja. Sebagai contoh, pada hari isnin lepas (13 April 2009), saya telah mengajar tajuk yang berkaitan dengan perbahasan. Tujuan saya mengadakan perbahasan ini ialah untuk membantu pelajar mencari isi-isi yang diperlukan dalam karangan dan seterusnya meningkatkan keyakinan pelajar. Tajuk karangan/ perbahasan yang bakal diadakan pada esok hari, sabtu iaitu bersamaan dengan 18 April 2009 ialah ‘Kewujudan tempat-tempat lawatan seperti muzium kurang mendapat perhatian daripada pendatang asing’, bahaskan kenyataan ini. Seperti yang telah dirancang sebelumnya, saya telah mencipta tajuk ini kerana saya pernah mengadakan lawatan ke muzium bersama dengan pelajar-pelajar MA 4Sci1 sebelum ini iaitu pada 09 April 2009 (Khamis) minggu lepas agar mereka dapat menimba pengalaman dan pengetahuan mengenai muzium. Dalam proses mengadakan perbahasan ini, saya telah mengajak pelajar melayari internet (di bilik Teknologi Maklumat dan Komunikasi) dengan tujuan untuk membantu pelajar memahami format perbahasan yang sebenar iaitu melalui bantuan sedutan klip video perbahasan yang dimuat turun daripada laman sesawang www.Youtube.com berserta laman sesawang yang biasa digunakan untuk memuat turun klip video yang diperlukan jika ada. Selain itu juga, saya telah menyediakan senarai alamat (address) mengenai informasi-informasi yang berkaitan dengan tajuk perbahasan/ karangan. Pembahagian kumpulan perbahasan juga telah saya sediakan agar pelajar dapat membuat persediaan pada esok hari. Dua kumpulan terdiri daripada Pencandang (iaitu Kumpulan A dan Kumpulan B), dan dua kumpulan yang lain terdiri daripada Penyanggah (iaitu Kumpulan C dan Kumpulan D). Pada hari esok, perbahasan yang dijalankan ialah antara Kumpulan A dan Kumpulan C, serta Kumpulan B akan bertemu Kumpulan D. Walau bagaimanapun, saya mengakui terdapat beberapa kesilapan yang telah terjadi, sebagai contoh, sambungan internet kurang memuaskan kerana terdapat banyak komputer atas meja yang disambungkan dengan internet. Dengan demikian, pada masa akan datang, jika saya masih menggunakan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang sama, saya seharusnya menyediakan komputer dalam bilangan yang terhad agar mudah untuk digunakan. Selain itu juga, saya seharusnya memuat turun klip video perbahasan lebih awal agar pelajar dapat melihat keseluruhan format dengan lebih lengkap.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan