Selasa, 28 April 2009

Catatan Log dan Refleksi Kendiri 10, pelajar 7P2

Catatan Log

Pada hari Sabtu, 25 April 2009, saya telah memasuki kelas 7 bagi mengajarkan karangan rumusan. Pada kali ini, pelajar dikehendaki untuk merumus gambar rajah yang diberikan. Gambar rajah tersebut adalah mengenai kebakaran. Saya telah membahagikan pelajar kepada 5 kumpulan untuk mencari isi tersurat dan tersirat. Setiap kumpulan akan berbincang dengan ahli kumpulan masing-masing untuk sama-sama berkongsi idea atau pendapat masing-masing. Setiap kumpulan telah dipantau oleh saya sendiri, di samping membantu para pelajar untuk menuliskan isi tersurat dan tersirat. Setelah selesai, seorang wakil kumpulan akan membacakan hasil dapatan mereka. Sementara itu pelajar yang lain akan mencatat isi-isi yang berkaitan dengan tajuk tersebut. Kemudian pelajar diarahkan untuk membuat sebuah rumusan berkenaan gambar rajah tersebut secara individu.

Refleksi Kendiri.

Sepanjang sesi pengajaran berlangsung, pelajar saya mahu bekerjasama dalam menjayakan aktiviti yang dijalankan. Pelajar saya dapat mencari dan menuliskan isi tersurat dan yang tersirat. Walau bagaimanapun, saya dapati sesetengah pelajar saya lemah membina ayat dengan betul. Manakala pelajar yang berbangsa Cina pula, sukar memahami bahasa Melayu. Mereka dapat membaca dengan betul tetapi kurang faham apa yang telah dibaca. Oleh itu, saya mesti memberi sepenuh perhatian agar dapat membimbing mereka terutama sekali dalam memahami sesuatu yang dibaca.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan